KLANG: Kerajaan mempergiat pemeriksaan dan kawalan dekat pelabuhan di seluruh negara terutama Pelabuhan Klang bagi membanteras kemasukan sisa haram ke Malaysia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam , Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu dilakukan pihaknya menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengesan 354 kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) dan plastik di Pelabuhan Klang.
“Pemeriksaan dilakukan susulan maklumat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Amerika Syarikat mengenai kontena dari negara itu yang dijangka memasuki Malaysia.
“Pelbagai agensi penguatkuasaan dan teknikal termasuk JAS, Jabatan Pengurusan
Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan meneruskan pemeriksaan ke atas baki kontena yang belum diperiksa,” katanya ketika meninjau kontena sisa haram itu dekat Pelabuhan Utara, hari ini.
Jelasnya, JAS memeriksa sebanyak 179 kontena yang disyaki membawa e-waste setakat 13 Mei lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 122 kontena atau 68 peratus telah ditahan membawa sisa berkenaan menerusi pengisytiharan palsu.
“Susulan itu, sebanyak 119 Notis Arahan dikeluarkan kepada syarikat pengimport di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi pemulangan semula kontena ke negara asal,” ujarnya.
Justeru, kata Nik Nazmi lagi, JAS akan mempertingkatkan pemeriksaan di Pelabuhan Klang dan menambah baik usaha bagi membanteras kegiatan itu.
“Isu pembuangan sisa haram ini bukan hanya dihadapi Malaysia namun turut dihadapi negara lain seperti Filipina dan Indonesia. Justeru, kita akan meningkatkan lagi kawalan dan pemeriksaan di semua pelabuhan negara terutama Pelabuhan Klang yang antara terbesar di dunia.
“Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menjadikan negara ini sebagai destinasi pelupusan sisa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Semua pengimport diingatkan mematuhi peraturan ditetapkan dan negara pengeksport juga diminta memastikan semua sisa yang dihantar tidak melanggar undang-undang negara penerima,” tegasnya.
Malaysia sebagai negara parti kepada Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm (BRS) komited menunaikan tanggungjawab antarabangsa dalam membanteras kemasukan sisa secara haram merentasi sempadan.
Prosedur konvensyen itu mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya mewajibkan semua pergerakan rentas sempadan buangan terjadual sama ada untuk import, eksport atau transit mendapat kebenaran bertulis daripada JAS terlebih dulu. – UTUSAN