‘Kami mahu rumah tetapi tidak mampu’

‘Kami mahu rumah tetapi tidak mampu’

RUMAH ber­harga RM200,000 hingga RM300,000 paling ting­gi tidak terjual melibatkan seba­nyak 5,374 unit. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramai yang terpaksa menangguhkan hasrat memiliki rumah atau beralih kepada pilihan menyewa walaupun terdapat ribuan unit kediaman siap dibina yang masih kosong di seluruh negara.

Menurut seorang penjawat awam, Nur Amani Syakirah Muhamad Azlan, 25, harga rumah yang terlalu mahal menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat untuk membeli rumah selepas berkahwin.

“Saya telah melakukan banyak tinjauan harga rumah di sekitar Kuala Lumpur dan kebanyakannya sangat mahal dan tidak mampu dibeli oleh golongan muda terutamanya yang baru bekerja.

“Sebelum membeli, banyak pertimbangan yang perlu saya buat termasuk harga rumah, kemudahan yang ditawarkan dan lokasi rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Nur Amani Syakirah, gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan juga menjadi salah satu faktor masyarakat terutamanya golongan muda tidak membeli rumah dan memutuskan untuk hanya menyewa.

“Gaji minimum sekarang cuma RM1,700 tetapi harga minimum pembiayaan bulanan rumah pula paling minimum RM1,000. Jadi untuk memiliki rumah dengan gaji tersebut adalah sangat mustahil,” katanya.

Muhammad Haikal Noor Amin, 25, pula berkata, harga rumah seperti kondominium sepatutnya lebih murah berbanding rumah teres kerana tidak memerlukan banyak ruang dan tanah untuk dibina.

“Saya tak faham kenapa harga kondominium sekarang lebih mahal berbanding rumah teres biasa.

“Rumah seperti kondominium dan pangsapuri seharusnya murah dan mampu dimiliki oleh golongan muda terutamanya yang baru berkahwin atau memulakan kerjaya,” katanya.

Tambah Muhammad Haikal, tempoh pembiayaan maksimum pinjaman sebuah rumah selama 35 tahun dilihat sebagai wajar dan boleh diterima ketika ingin membuat keputusan untuk membeli rumah.

Menurutnya lagi, kebaikan dan keburukan untuk tempoh pembiayaan pinjaman rumah yang dipanjangkan itu bergantung kepada individu yang ingin membeli rumah.

“Bagi saya, tempoh maksimum 35 tahun itu adalah normal kerana semakin lama seseorang meminjam, semakin banyak faedah yang akan perlu dibayar.

“Tempoh pembiayaan juga bergantung pada pendapatan individu tersebut. Bagi saya, individu dengan pendapatan kukuh boleh mempertimbangkan untuk memendekkan tempoh bayaran balik pinjaman rumah dan sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN