Hampir 40,000 jangkitan HFMD di Selangor

Hampir 40,000 jangkitan HFMD di Selangor

HFMD Selangor
MURID-murid perlu membasuh tangan sebelum memasuki kelas ketika peningkatan kes HFMD yang banyak berlaku di di taska dan pusat jagaan harian di seluruh negara. – UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor merekodkan seramai 39,233 dijangkiti penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) sehingga 10 Mei lalu selain peningkatan ketara dikesan selepas minggu pertama Hari Raya Aidilfitri.

Sebanyak sembilan kes melibatkan varian Enterovirus 71 (EV71) dilapor melibatkan tujuh kes di Sabak Bernam, dan dua di Hulu Langat, bagaimanapun hanya seorang daripada mereka di masukkan ke wad sementara yang lain menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, penyumbang terbesar jangkitan HFMD adalah di rumah iaitu 49 peratus berbanding taman asuhan kanak-kanak (taska), taman didikan kanak-kanak (tadika), prasekolah dan pusat tuisyen yang menyumbang 42.8 peratus.

Menurutnya, bagaimanapun situasi jangkitan penyakit itu di negeri ini terkawal dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan berdasarkan pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan langkah-langkah kawalan dilaksanakan secara bersepadu.

“Sekolah rendah dan menengah dan pusat jagaan harian menyumbang lima peratus dan ke bawah.

“Antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes adalah pergerakan orang ramai yang lebih aktif, aktiviti kunjung mengunjung, interaksi rapat antara kanak-kanak di kawasan tumpuan seperti rumah saudara-mara, serta perkongsian makanan dan permainan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, faktor lain yang dikenal pasti ialah kelonggaran saringan pintu masuk (gate-keeping) di fasiliti jagaan kanak-kanak bagi mengenalpasti mereka yang mempunyai simptom bagi pengasingan.

Kata Jamaliah, penutupan premis terlibat dilaksanakan sama ada secara sukarela yang melibatkan 81 tadika, 63 taska, 25 taman bimbingan kanak-kanak (tabika),15 prasekolah, satu pusat jagaan dan premis lain serta enam sekolah rendah.

“Penutupan premis secara penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pula melibatkan 168 taska, 157 tadika, 69 tabika, 29 prasekolah, dua (2) pusat jagaan dan 10 sekolah rendah, menjadikan keseluruhan 435 premis ditutup,” jelasnya.

Katanya lagi, JKNS mengeluarkan arahan untuk meningkatkan pengambilan sampel terutama di lokasi berlakunya wabak melibatkan institusi dan kes-kes yang dimasukkan ke wad, bagi tujuan pemantauan dan pengesanan varian virus yang lebih berkesan.

“Bagaimanapun ibu bapa disaran untuk tidak menghantar anak-anak yang mempunyai gejala ke taska, tadika, prasekolah mahupun sekolah dan memastikan mereka kekal berada di rumah sehingga sembuh sepenuhnya bagi mengelak penularan jangkitan.

“Pengusaha institusi pendidikan awal kanak-kanak juga disaran untuk tidak menerima kanak-kanak yang bergejala, melaksanakan saringan kesihatan di pintu masuk dan mengekalkan tahap kebersihan premis pada paras optimum,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN