ATHENS: Gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter menggegarkan perairan di pulau Crete dan Santorini di Greece pada Khamis, menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa kuat berlaku pada kedudukan 82 kilometer (km) timur laut ibu kota Crete, Heraklion, dengan kedalaman 68km.
Tiada kerosakan dilaporkan, walaupun gegaran turut dirasai di Athens dan Mesir, lapor AFP.
Televisyen negara, ERT, melaporkan ramai penduduk di wilayah Rethymno dan Lasithi di Crete terjaga ketika gegaran berlaku sekitar pukul 6 pagi waktu tempatan.
Agensi berita negara, ANA, melaporkan unit bomba di Crete diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, dengan kenderaan berkawal untuk menilai keadaan.
Datuk Bandar Heraklion, Alexis Kalokerinos memberitahu ERT bahawa tiada masalah besar berlaku di bandar itu dan tiada keperluan untuk menutup sekolah.
Gempa itu berlaku hanya seminggu selepas satu gegaran berukuran 6.1 skala Richter melanda berhampiran pulau Kasos, berhampiran Crete, dan turut dirasai di kawasan sekitar.
Wilayah yang menjadi tumpuan pelancong itu dilanda beberapa gegaran dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menyebabkan sekolah di Santorini dan pulau berdekatan ditutup sementara.
Sejak Januari, ribuan gempa bumi, kebanyakan berskala kecil, direkodkan antara pulau Santorini, Amorgos, los dan Anafi dalam gugusan Cyclades yang terletak di tenggara tanah besar Greece.










