Arkitek terkenal nasihat mahasiswa manfaat peluang di universiti

Arkitek terkenal nasihat mahasiswa manfaat peluang di universiti

Universiti
HIJJAS Kasturi menerima anugerah Profesor Emeritus UiTM yang disampaikan oleh Zarinah Anwar pada Istiadat Konvokesyen Ke-101 universiti itu, di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Generasi muda dinasihatkan memanfaatkan peluang menimba ilmu di peringkat pengajian tinggi kerana pendidikan peringkat itu kini lebih mudah diakses menerusi kewujudan pelbagai kolej dan universiti di negara ini.

Prof. Emeritus Hijjas Kasturi berkata, kemudahan pendidikan tinggi kini lebih baik berbanding dahulu apabila peluang terbuka luas kepada generasi muda melatih kemahiran bagi meningkatkan ekonomi diri sendiri, keluarga dan negara.

“Zaman saya belajar dahulu sukar untuk mendapat peluang belajar di universiti kerana tidak banyak universiti yang wujud di negara ini.

“Sekarang universiti tempatan pun sudah banyak. Jadi, peluang untuk sambung pengajian bagi generasi muda lebih cerah. Oleh itu, ambil peluang kalau ditawarkan masuk ke mana-mana universiti,” katanya pada Istiadat Konvokesyen Ke-101 Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Terdahulu, pada istiadat tersebut, Hijjas, 79, sebagai seorang arkitek tersohor dianugerahkan Profesor Emeritus oleh UiTM yang disampaikan oleh Pro Canselor, Tan Sri Zarinah Anwar pada sidang pembukaannya di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC).

Penganugerahan kepada figura itu sebagai penghargaan ke atas sumbangannya dalam bidang tersebut termasuklah jasanya mereka bangunan-bangunan ikonik di negara ini seperti Menara Maybank, Menara Tabung Haji, Menara Telekom Malaysia (TM).

Selain itu, Hijjas juga merupakan arkitek yang bertanggungjawab mereka bangunan ikonik Stadium Shah Alam yang dibina pada tahun 1991.

Malah, beliau yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang arkitek juga merupakan pengasas dan ketua pengajian pertama Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur (FSPU) yang dahulunya dikenali sebagai School of Art and Architecture pada tahun 1967.

Sepanjang kerjanya, Hijjas pernah menerima pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara seperti Gold Medal Award daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia dan Pingat Presiden oleh Lembaga Arkitek Malaysia.

Katanya, penganugerahan Profesor Emeritus merupakan pengiktirafan terbesar sepanjang hidupnya selepas lebih 50 tahun bergelumang dalam industri seni bina.

“Saya sudah mengecapi banyak anugerah dari dalam dan luar negara tetapi ini yang paling bermakna dalam hidup. Jiwa masih bersama UiTM kerana universiti ini memberikan ilmu pertama kepada saya sehingga saya berjaya sehingga saat ini,” ucapnya.

Tambah Hijjas lagi, beliau bersedia untuk terus memberikan sumbangan kepada UiTM dan negara selagi diperlukan sebagai cara untuk membalas semua kejayaan yang diperolehnya selama ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN