'Ambil dan bawa anjing liar ke rumah, negeri masing-masing'

‘Ambil dan bawa anjing liar ke rumah, negeri masing-masing’

AMINUDDIN Harun ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Kebitaraan Akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berhimpun  membantah keputusan kerajaan Negeri Sembilan untuk melupuskan anjing-anjing liar baru-baru ini dicadangkan supaya mengambil dan membawa haiwan itu ke rumah atau negeri masing-masing untuk dibela.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kesemua mereka boleh mengambil anjing liar itu untuk dipelihara ketika tempoh penyimpanan selepas haiwan itu ditangkap.

“Kita bukan lupus suka-suka, ikut peraturan, bukan main tembak macam itu sahaja, bukan bagi racun. Kena ikut peraturan dan mereka (NGO) ini marah sangat pun saya tidak tahu lah. 

“Selepas ditangkap, anjing ini akan disimpan beberapa hari. Masa ni NGO atau individu mahu ambil, ambil lah. Bela dan tidak lepas balik ke komuniti. 

“Kalau tidak ada, takkan lah kita mahu lepaskan balik, ada proses. Kita minta bukan hanya prihatin dengan binatang tetapi juga dengan manusia,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini termasuk dalam kalangan pembangkang bersetuju bahawa kaedah pelupusan anjing liar di kawasan majoriti penempatan Melayu perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu kacau ganggu dan keselamatan.

Bagaimanapun cadangan berkenaan mendapat maklum balas kurang senang daripada beberapa pihak terutama NGO yang menyifatkan keputusan diambil sebagai tidak sensitif dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.

Beberapa kumpulan NGO turut menyerahkan memorandum dan mengadakan himpunan di Wisma Negeri, Seremban baru-baru ini bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan berkenaan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri telah menyediakan sebidang tanah bagi menempatkan anjing-anjing liar yang telah ditangkap dan diusahakan oleh sebuah NGO termasuk bagi tujuan memandulkan haiwan itu.

Bagaimanapun, isu anjing liar di negeri ini tetap tidak selesai malah semakin bertambah sehingga berlaku kejadian individu diserang anjing liar sehingga mengalami kecederaan.

“Anjing liar ini sudah terlampau banyak, sudah tidak mampu hendak kawal. Saya dapat tahu yang berhimpun hari tu ada datang dari macam-macam negeri, jika mereka mahu ambil anjing-anjing liar ini, silakan, ambil dan bela di rumah atau negeri masing-masing.

“NGO-NGO yang datang hari itu ke negeri ini saya ucapkan terima kasih dan boleh lah bawa balik anjing liar ini untuk dibela. Jika mereka boleh bantu selesai dan bela, tidak datangkan bahaya kepada penduduk setempat, silakan,” katanya.

Tegas Aminuddin lagi, kerajaan Negeri Sembilan akan tetap meneruskan keputusan tersebut, namun kaedah pelaksanaannya akan diputuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN