24 juta penduduk Indonesia miskin

24 juta penduduk Indonesia miskin

3.17 juta orang atau 1.13 peratus rakyat Indonesia dikategorikan sebagai miskin tegar.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMARANG: Kira-kira 24 juta rakyat Indonesia atau 8.57 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara itu masih berada di bawah garis kemiskinan.

Timbalan Menteri Sosial, Agus Jabo Priyono menegaskan, masalah kemiskinan masih menjadi cabaran besar yang perlu ditangani bersama.

“Saudara kita masih miskin, sekitar 24 juta orang atau 8.57 peratus. Ini menunjukkan masih ramai yang hidup dalam keadaan serba kekurangan,” katanya dalam lawatan kerja ke Universiti PGRI Semarang, kelmarin.

Agus berkata, daripada jumlah itu, 3.17 juta orang atau 1.13 peratus daripadanya dikategorikan sebagai miskin tegar.

“Mereka yang dikategorikan miskin tegar ialah individu atau ketua keluarga yang hanya membelanjakan sekitar Rp400,000 (RM104) sebulan.

“Manakala, mereka yang miskin mempunyai perbelanjaan per kapita sekitar Rp600,000 (RM156) sebulan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai program dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia bagi membasmi kemiskinan secara menyeluruh.

Menurutnya, usaha pembasmian kemiskinan akan diselaraskan berdasarkan Data Tunggal Sosial Ekonomi Nasional (DTSEN) yang diperkenalkan menerusi arahan Presiden Prabowo Subianto melalui peraturan No. 4 Tahun 2025.

Agus turut memaklumkan, sepanjang pemerintahan bekas Presiden Joko Widodo (Jokowi), kadar kemiskinan negara berjaya diturunkan sebanyak dua peratus dalam tempoh 10 tahun.

“Presiden Prabowo pula menyasarkan kadar kemiskinan turun di bawah lima peratus menjelang tahun 2029, manakala kemiskinan tegar harus dihapuskan sepenuhnya pada tahun 2026,” katanya.- KOMPAS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN