SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyumbang 1,700 ekor lembu dan kambing bernilai RM6 juta kepada masjid serta surau di seluruh negeri bagi menjalankan ibadah korban pada tahun ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, sebanyak 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing akan diserahkan beberapa hari sebelum tiba Hari Raya Aidiladha nanti.
“Program itu merupakan inisiatif penuh daripada kerajaan negeri dengan pelaksanaan diselaraskan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sejak tujuh tahun berturut-turut.
“PKPS selaku pelaksana program akan menguruskan segala aspek perolehan, pentadbiran dan kewangan program,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2025, semalam.
Kata Ahmad Fadzil, beliau menasihatkan anak syarikat kerajaan negeri yang diamanahkan untuk memberikan sumbangan lembu dan kambing supaya memastikan haiwan korban dalam keadaan baik mengikut syarak.
“Kita tidak mahu ada masalah lembu dan kambing terlalu kurus, ada kecacatan pada haiwan daripada penerima. Haiwan korban mestilah cukup syarat, umurnya cukup, tiada kecacatan dan elok dari segi fizikal serta kesihatan.
“Kita tidak mahu timbul masalah pada saat akhir seperti lembu tidak cukup syarat, kena hantar balik dan sebagainya,” tegasnya. – UTUSAN