MANILA: Sekurang-kurangnya 10 orang maut termasuk kanak-kanak, selepas sebuah bas penumpang merempuh deretan kenderaan di sebuah plaza tol lebuh raya di utara Filipina semalam.
Menurut polis, kejadian itu turut mengakibatkan lebih 20 yang lain cedera dalam pelanggaran melibatkan pelbagai kenderaan di bandar Tarlac, utara Manila, ketika waktu puncak sempena Hari Pekerja.
Ketua Polis Tarlac, Romel Santos berkata, pemandu bas terbabit dilaporkan cedera dan kini ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, pemandu terbabit memberitahu penyiasat bahawa beliau tertidur sejurus sebelum nahas.
Bas tersebut, didakwa dipandu laju, melanggar sebuah van yang beratur bersama tiga lagi kenderaan di plaza tol.
Lapan daripada mangsa maut, termasuk kanak-kanak, berada di dalam van berkenaan, selepas tersepit di antara bas dan sebuah kereta di hadapan, menurut pihak berkuasa.
Turut terkorban, sepasang suami isteri di dalam sebuah kereta berasingan.
Polis berkata, ramai mangsa cedera merupakan penumpang bas.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Filipina kerana penguatkuasaan keselamatan dan peraturan lalu lintas yang lemah serta kecuaian memandu.– AFP










