WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump menggantikan laman web Covid-19, yang dahulunya menyediakan maklumat penting berkaitan pandemik, dengan kandungan berunsur teori ‘kebocoran makmal’.
Laman web Covid.gov, yang sebelum ini menyediakan maklumat penting berkaitan saringan percuma, vaksin, rawatan dan kesan jangka panjang, kini memaparkan imej penuh Trump dan mengkritik dasar pandemik yang dilaksanakan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Laman baharu itu turut mengkritik bekas pegawai kesihatan tertinggi, Anthony Fauci dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor AFP.
Ia juga mengecam langkah kesihatan awam yang pernah dilaksanakan semasa kemuncak pandemik Covid-19 seperti penjarakan sosial, kewajiban pemakaian pelitup muka dan perintah berkurung.
Ia menyenaraikan lima perkara utama untuk menyokong teori kebocoran makmal, termasuk fakta bahawa Wuhan merupakan lokasi makmal penyelidikan SARS terkemuka di China, yang mempunyai sejarah menjalankan penyelidikan pada tahap biokeselamatan tidak mencukupi.
“Menurut hampir semua ukuran sains, jika ada bukti asal semula jadi, ia sepatutnya sudah muncul. Tetapi sebaliknya,” menurut laman tersebut.
Asal-usul virus SARS-CoV2 menjadi perdebatan hangat sejak pandemik bermula di Wuhan, China, dan merebak seluruh dunia pada awal 2020.
Inti perdebatan adalah sama ada makmal yang mengkaji coronavirus di Wuhan secara membocorkan virus secara tidak sengaja atau ia sebahagian daripada penularan semula jadi yang berlaku di sebuah pasar berhampiran.
Namun, teori kebocoran makmal mendapat sokongan daripada pakar dan media, terutama kelompok yang cenderung kepada politik kanan.
Awal tahun ini, Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengubah pendirian rasmi dengan menyatakan kemungkinan besar virus itu berasal dari makmal China berbanding penularan daripada haiwan.
Bagaimanapun, penilaian itu dikritik oleh China dan menggesa AS supaya berhenti mempolitikkan serta memanipulasi isu pengesanan asal-usul virus tersebut.










