Tragedi letupan paip gas: Baik pulih rumah bermula esok

Tragedi letupan paip gas: Baik pulih rumah bermula esok

Keadaan rumah dan kenderaan yang musnah di Taman Putra Harmoni, Putra Heights awal bulan lalu. – MINGGUAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerja-kerja baik pulih rumah yang terjejas dalam kebakaran letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya bermula esok dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM40 juta disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Proses baik pulih itu dilakukan secara berfasa mengikut tahap kerosakan yang mana kos pembaikan di bawah RM30,000 akan dibuat melalui kaedah tuntutan melalui jawatankuasa penduduk dan ketua kampung.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain baik pulih, penilaian juga akan diteruskan kawasan berkenaan bagi mengenal pasti kerosakan struktur terutama rumah yang terjejas teruk sebelum kerja pembaikan dimulakan pada minggu depan.

Menurutnya, kaedah lain baik pulih adalah dilakukan melalui Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat Sime Darby yang merupakan pemaju di kawasan berkenaan dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kawasan kampung.

“Bagi kerosakan kecil di bawah RM30,000, caranya adalah pemilik rumah baiki sendiri rumah dan membuat tuntutan kepada MBSJ melalui ketua kampung atau persatuan penduduk yang akan menghantar dokumen tuntutan secara mingguan.

“Bagi kerosakan yang teruk dibaik pulih melalui dua kaedah yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan. Untuk Kampung Kuala Sungai Baru akan dibaiki oleh SPNB. Cuma saya hendak maklumkan bagi kerosakan aksesori tambahan (perabot dan barangan elektrik) tidak akan dibiayai oleh kerajaan,” katanya ketika pada Majlis Penyerahan Bantuan Rumah Sewa Kepada Mangsa Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights, hari ini.

Jelas Amirudin, jangka masa proses baik pulih tersebut mengambil kira tempoh pembiayaan sewa yang diberikan oleh kerajaan negeri antara tiga hingga enam bulan yang sudah pun diserahkan sejak minggu lalu.

Beliau berkata, sebanyak 70 lagi keluarga mangsa menerima bantuan sewa sebanyak RM2,000 sebulan pada hari ini untuk tempoh tiga bulan dan jumlah keseluruhan penerima adalah sebanyak 221 keluarga.

“Kita serahkan bantuan sewa dengan memasukkan ke dalam akaun-akaun bank mangsa. Ia mengambil sedikit masa sebelum ini kerana memerlukan proses dokumentasi daripada mangsa seperti MyKad dan sebagainya.

“Jika proses baik pulih (pemulihan struktur atau bina semula) yang memakan masa lebih daripada enam bulan, kos sewa rumah juga akan ditanggung oleh kerajaan negeri selepas mendapat maklum balas daripada pihak Unit Perancang Ekonomi (UPEN), Sime Darby dan SPNB,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya