SHAH ALAM: Individu berstatus orang kurang upaya (OKU) akan terus dilindungi menerusi Dasar OKU daripada dieksploitasi termasuk membiarkan golongan itu mengemis di kawasan awam.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, dasar tersebut juga akan dirangka dengan mengambil iktibar daripada insiden pembunuhan yang berlaku terhadap seorang lelaki lembam dekat Seksyen 18, di sini pada 24 April lalu.
Menurutnya, dasar berkenaan akan menerangkan kepada umum mengenai hak dan keperluan-keperluan perlu disantuni kepada golongan itu.
“Sebab itul pendaftaran OKU itu penting bagi melihat secara realiti berapa sebenarnya populasi OKU di Selangor. Berdasarkan rekod, terdapat 132,000 OKU berdaftar di negeri ini.
“Namun, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan terdapat sebanyak 15 peratus OKU dalam populasi di sesebuah negeri,” katanya selepas majlis pelancaran program Selangor Care Accelerator (XCARE) 2025, hari ini.
Dalam kejadian pada 24 April lalu, seorang pengemis mati dibunuh oleh seorang pengemis lain yang disahkan polis sebagai OKU apabila mendapati suspek memiliki kad OKU.
Suspek kemudian menerima rawatan di Hospital Shah Alam (HSA) kerana mengalami serangan sawan.
Selain itu, Anfaal memberitahu, program kesedaran perlu diperbanyakkan juga di syarikat swasta bagi membolehkan lebih ramai individu OKU mendapat pekerjaan di sektor berkenaan.
Malah, beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau kawasan yang dikenal pasti tumpuan peminta sedekah bagi memastikan keselamatan bukan sahaja kepada golongan itu selain orang awam. – UTUSAN