BACHOK: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek tebatan banjir di negeri ini dilaksanakan segera mengikut fasa ditetapkan, meskipun menelan belanja tinggi.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah tidak sanggup melihat penderitaan rakyat setiap tahun akibat kegagalan kerajaan yang silih berganti menyiapkan projek tersebut.
“Sebab itu saya minta PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan melihat beberapa kaedah baharu untuk mempercepat projek tersebut.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana memberi kerjasama penuh dalam hal ini dengan menyegerakan proses pengambilan tanah,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Pantai Irama di sini, semalam.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri perlu dimantapkan demi mengangkat martabat negeri ini dan negara sekali gus menyelesaikan masalah-masalah rakyat yang dibelenggu kemiskinan, banjir dan lain-lain.
Katanya, semua itu bukan masalah politik sebaliknya dilihat sebagai masalah negara dan sebarang selisih faham perlu diperbetul sekali gus mengelakkan fitnah demi kepentingan sesebuah parti politik.
“Jangan ‘bengkeng-bengkeng’. Tak ada makna. Kito ‘gocoh nok buat gapo dio?’ (bergaduh hendak buat apa?). Kita kena bersahabat dan saya berterima kasih atas persahabatan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan yang perlu diteruskan demi faedah kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Kelantan menerima wang ihsan berjumlah RM762 juta pada tahun lalu sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding 2023.
Perdana Menteri berkata, pada 2023, Kelantan menerima wang ihsan sebanyak RM588 juta merangkumi Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS), Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) dan Geran Per Kapita (PCG). – MINGGUAN










