WASHINGTON: Ketua Eksekutif Tesla, Elon Musk, akan mengurangkan peranannya dalam pentadbiran Donald Trump bermula Mei, susulan kejatuhan mendadak dalam keuntungan dan pendapatan syarikat pada awal tahun ini.
Selain jualan merosot, jenama Tesla menerima kecaman teruk apabila Musk menjadi tokoh politik yang memimpin Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) dalam pentadbiran baharu Rumah Putih.
Musk berkata, peruntukan masanya untuk DOGE akan berkurangan dengan ketara bermula Mei, di mana beliau hanya akan meluangkan satu atau dua hari seminggu untuk urusan kerajaan.
Selasa lalu, syarikat itu melaporkan penurunan sebanyak 20 peratus dalam hasil jualan automotif bagi tiga bulan pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan menjunam lebih 70 peratus.
Tesla turut memberi amaran kepada pelabur bahawa keadaan sukar dijangka berterusan, dan enggan memberikan ramalan pertumbuhan termasuk menyatakan ‘perubahan sentimen politik’ boleh menjejaskan permintaan dengan ketara.
Kemerosotan terkini dalam prestasi Tesla berlaku di tengah kecaman terhadap peranan Musk dalam pentadbiran Presiden Donald Trump – sesuatu yang diakui Musk sudah mengalihkan tumpuannya daripada syarikat.
Jutawan terkenal itu menyumbang lebih suku bilion dolar kepada kempen pemilihan semula Trump.
Beliau juga mengetuai inisiatif DOGE yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan persekutuan dan mengecilkan tenaga kerja kerajaan.
Penglibatan politik Musk mencetuskan protes dan boikot terhadap Tesla di seluruh dunia.
Tesla mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak AS$19.3 bilion (RM85.1 bilion) bagi suku tersebut, turun sembilan peratus berbanding tahun lalu.
Angka itu lebih rendah daripada jangkaan penganalisis sebanyak AS$21.1 bilion (RM93 bilion), dan berlaku ketika syarikat itu menurunkan harga bagi menarik minat pembeli.– BBC










