KUALA LANGAT: Kira-kira 150 keluarga yang terlibat dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya menerima bantuan sewa daripada Kerajaan Selangor sejak awal bulan ini.
Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata,setiap keluarga menerima bantuan sewa selama tiga bulan berjumlah RM6,000 dan jumlah penerima dijangka akan terus meningkat.
“Bantuan sebanyak RM2,000 sebulan itu disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) secara pemindahan terus ke akaun mangsa yang terlibat.
“Pada Ahad lalu, lebih 70 keluarga sudah menerima bantuan sewa yang kita kreditkan ke akaun bank masing-masing. Dalam perkembangan terbaru, ada lagi 70 keluarga menerima bantuan berkenaan, semalam. Setakat ini, lebih 150 keluarga menerima pendahuluan tiga bulan sewa iaitu RM6,000,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Krematorium Jalan Serdang Belah, Kampung Sungai Buaya, hari ini.
Jelasnya, keseluruhan sebanyak 396 keluarga yang dikesan terlibat dalam insiden berkenaan dan bantuan kepada mereka akan diberikan secara berperingkat berdasarkan laporan daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
Selain itu, Borhan turut memaklumkan kerajaan negeri masih meneliti bantuan untuk pembinaan semula rumah mangsa yang musnah dalam insiden tersebut dan ia sedang dibincangkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi terlibat.
“Kita bimbang berlaku tidak adil kepada mangsa. Menteri Besar sedang berbincang dengan kementerian dan agensi berkaitan,” ujarnya. – UTUSAN