SABAK BERNAM: Kementerian Pertahanan sedia berbincang dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhubung cadangan mengambil pesara tentera di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sebagai warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, perkara tersebut perlu diteliti termasuk mengenal pasti skop kerja sebagai warden di maktab berkenaan.
“Kami ada dengar cadangan daripada Mara dan mengalu-alukan hasrat mereka. Namun berharap Mara boleh datang berbincang dengan JHEV supaya boleh diketahui skop kerja pesara sebagai warden,” katanya ketika ditemui dalam program Peduli Veteran Madani Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mara akan memulakan pengambilan warden sepenuh masa di kalangan bekas pegawai tentera dan polis di MRSM.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu, pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota keselamatan itu dilakukan sebagai usaha untuk menjadikan MRSM sifar kes buli.
Adly menambah, beliau berharap berharap pesara tentera yang akan diambil sebagai warden juga akan mendapat pendapatan yang baik bagi menyara kehidupan.
“Kementerian sentiasa mengambil berat kebajikan pesara. Sebab itu, kami bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Sumber Manusia supaya mereka berpeluang untuk bekerja di mana-mana jabatan kerajaan atau swasta selepas tamat perkhidmatan.
“Selain itu, kementerian melalui JHEV turut memberikan bantuan kewangan serta peralatan kepada pesara yang mahu menjalankan sebarang perniagaan,” jelasnya.
Menurutnya, 85 peratus pesara di bawah umur 60 tahun mempunyai kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan yang kebanyakannya mereka turut menceburi bidang keusahawanan, selain terlibat dalam sektor industri dan keselamatan. – UTUSAN