Harga lantai tidak jamin pendapatan pekebun jika orang tengah terus dominasi

Harga lantai tidak jamin pendapatan pekebun jika orang tengah terus dominasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan menetapkan harga lantai RM5 sekilogram bagi getah sekerap dan RM15 sekilogram bagi susu getah bukan jaminan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil, selagi struktur industri yang menekan mereka tidak diperbaiki.

Pakar Sekuriti Makanan, Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, penetapan harga lantai hanyalah satu bentuk sokongan minimum yang tidak dapat mengatasi pelbagai cabaran sebenar dihadapi pekebun kecil di lapangan.

Beliau berkata, walaupun harga ditetapkan secara rasmi, realitinya pekebun kecil kerap menerima bayaran jauh lebih rendah.

“Ada yang hanya dapat RM40 hingga RM70 lebih rendah daripada kadar sepatutnya setelah pelbagai potongan oleh peraih dan pembeli.

“Pendapatan bersih pekebun kecil bukan bergantung kepada harga semata-mata. Kalau kos pengeluaran naik atau pembeli tolak harga sebab getah dianggap kotor atau mutu rendah, hasil mereka tetap terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, perkara mengenai penetapan harga itu akan diketengahkan menerusi kertas cadangan yang kini dalam proses untuk disiapkan dan seterusnya akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Fatimah berkata, masalah utama yang membelenggu industri ialah dominasi orang tengah dan kuasa tawar-menawar yang tidak seimbang antara pekebun kecil dan syarikat besar.

“Kilang besar yang berintegrasi dengan syarikat sarung tangan, contohnya, mempunyai kuasa beli yang kuat. Tapi pekebun kecil cuma ada hasil sedikit dan perlukan duit segera, jadi mereka terpaksa terima apa sahaja harga,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Norsida Man menyifatkan cadangan harga lantai itu realistik namun pelaksanaannya memerlukan pendekatan yang menyeluruh.

Katanya, walaupun sasaran harga lantai itu realistik, pelaksanaannya agak mencabar kerana struktur harga getah berbeza mengikut kawasan.

“Penetapan harga di peringkat industri mungkin boleh dilaksanakan, tetapi halangan besar akan timbul di peringkat lapangan kerana harga getah boleh berbeza walaupun dalam daerah atau negeri yang sama,” katanya.

Menurut beliau, perbezaan ini berpunca daripada pelbagai faktor seperti kualiti getah, kos logistik dan kedudukan lokasi ladang, selain perbezaan strategi harga oleh peraih dan pembeli.

Jelasnya, sebarang penetapan harga juga perlu mendapat persetujuan semua pihak dalam rantaian nilai getah termasuk penoreh, pembeli dan pengilang.

“Faktor seperti harga semasa pasaran, permintaan dan penawaran getah asli serta persaingan dengan harga getah sintetik turut perlu diberi perhatian.

“Bila harga getah naik, semua benda lain pun naik. Akhirnya yang kaya tetap pengilang, yang susah tetap pekebun kecil,” katanya.

Mengulas kesan penetapan harga lantai kepada kesejahteraan pekebun kecil, Norsida berkata, langkah itu berpotensi memberi impak positif terhadap pendapatan dan motivasi pekebun.

“Pekebun kecil tidak lagi perlu risau terhadap turun naik harga pasaran yang tidak menentu. Ia juga boleh menjadi galakan untuk mereka meningkatkan pengeluaran getah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN