Guru, ibu bapa Cina pandai anyam ketupat, bakar lemang

Guru, ibu bapa Cina pandai anyam ketupat, bakar lemang

GURU dan ibu bapa berbangsa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Sin, Batu Kikir tekun menganyam ketupat sempena Hari Raya Aidilfitri di sekolah itu semalam. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Guru dan ibu bapa berbangsa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Sin, Batu Kikir di sini, kini sudah pandai menganyam ketupat dan membakar lemang hasil tunjuk ajar guru serta ibu bapa Melayu.

Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum, Tea Ann Tee ber­kata, kesepakatan itu adalah ha­sil idea Guru Besar, Won Siew Knew yang mencadangkan pe­nganjuran sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, SJKC berkenaan cukup istimewa dalam kalangan penduduk Melayu setempat me­mandangkan hanya empat murid berbangsa Cina daripada jumlah keseluruhan murid 73 orang dan selebihnya Melayu.

“Itu sebabnya guru dan ibu bapa berbangsa Cina di sini sudah pandai menganyam ketupat. Ibu bapa dan guru Melayu juga mengajar cara membuat tiga jenis ketupat iaitu ketu­pat satay, bawang dan jantung.

“Malah, kami juga seramai 50 ibu bapa dan guru selama dua hari sudah bergotong-royong un­tuk menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri malam semalam dengan meriah,” katanya ketika ditemui di SJKC Chi Sin, Batu Kikir, di sini semalam.

Ujar Ann Tee lagi, di sekolah berkenaan terdapat 13 guru de­ngan tiga daripadanya berbangsa Melayu.

Menurutnya, hasrat pihak sekolah adalah untuk terus mendidikan kepelbagaian budaya di negara ini, selain memastikan murid-murid dapat menguasai tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan Inggeris.

Sementara itu, bagi Mohd. Ridzuan Shamsuddin, 60, dari Taman Melati Indah di sini, dia turut tidak ketinggalan menghantar anak ketiganya yang me­rupakan anak bongsu untuk belajar di SJKC berkenaan.

“Sekarang anak saya, Intan Shafina sudah berusia 35 tahun dan pandai cakap Cina. Malah, dua cucu saya pun kami hantar belajar di sini untuk memastikan mereka pandai cakap Cina.

“Guru-guru di sini pun memberikan kerjasama yang baik sehinggakan masyarakat Melayu selesa menghantar anak ke sini,” katanya.

Bagi Siti Nurhidayah Jaffar, 36, pula, dia yang juga bekas murid sekolah berkenaan turut menghantar dua anaknya belajar di sekolah tersebut.

“Malah, sudah enam tahun juga saya bersama-sama bergotong-royong menyiapkan juadah raya di sini. Guru-guru pun banyak memberikan kerjasama dan saya juga dapat bercakap dalam bahasa Melayu dan Cina dengan mereka.

“Ikutkan, rakan-rakan saya kebanyakannya tahu bercakap dalam bahasa Cina kerana kami bersekolah di sini sejak dari tahun satu lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN