JASIN: Seorang nelayan dari Serkam Pantai di sini mendakwa, kehilangan punca pendapatan apabila bot, enjin dan peralatan menangkap ikan miliknya yang disita oleh Jabatan Perikanan sejak bulan lalu belum dipulangkan.
Abdul Mohammad Bathusha, 49, berkata, peralatan menangkap ikan termasuk sebuah bot dan enjin yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 disita kerana dikatakan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan Taman Laut berhampiran Pulau Undan.
Ujarnya, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana dia memiliki lesen nelayan dan sudah lebih 30 tahun menjadikan perairan itu sebagai sumber pendapatan.
“Saya sudah lebih 30 tahun jadi nelayan, ini kali pertama saya berdepan dengan masalah seperti ini. Bukan saya seorang sahaja, tiga buah bot lain turut disita. Masalahnya, sekarang sudah lebih sebulan setengah tiada sebarang berita atau keputusan.
“Jabatan Perikanan hanya minta tunggu. Kali terakhir kami ke Pejabat Jabatan Perikanan adalah pada Jumaat minggu lalu, tetapi masih tiada maklum balas jelas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jeti Nelayan Serkam, semalam.
Tambah Abdul Mohammad, peralatan yang digunakan adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang, malah enjin bot yang baharu dibelinya itu masih lagi dalam hutang dan perlu dibayar secara bulanan.
“Paling sedih masa hendak sambut raya baru-baru ini. Saya ada isteri dan dua orang anak, masing-masing berusia 14 dan 9 tahun yang masih bersekolah dan perlukan belanja.
“Saya bukan minta dilepaskan terus, tapi bagi keputusan segera. Kalau bersalah, denda pun saya terima, tapi sekarang semuanya tergantung. Satu dokumen pun saya tidak terima. Kami nelayan hanya hendak cari rezeki,” ujarnya.
Seorang lagi nelayan, Abdul Rashid Baba, 59, berkata, bot serta semua peralatan menangkap ikan miliknya turut disita tiga bulan lalu atas dakwaan menggunakan perahu yang tidak didaftarkan atas namanya.
“Saya ada lesen nelayan, tapi mungkin kesalahan saya guna bot yang bukan atas nama sendiri. Tapi ini pun tidak sepatutnya makan masa berbulan-bulan. Kami tidak tahu hendak mengadu kepada siapa lagi,” katanya. – UTUSAN










