SHAH ALAM: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang memuktamadkan langkah jangka panjang menyelesaikan isu benteng sebuah kolam takungan berdekatan Taman Seri Alam, Saujana Utama, yang pecah buat kali ketiga, baru-baru ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, proses libat urus itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak perunding kejuruteraan pemaju dan wakil persatuan penduduk taman berkenaan.
“Kerajaan negeri mahu memastikan sebarang penyelesaian bukan hanya mengambil kira faktor teknikal malah aspek sosial dan kemanusiaan. Kita memandang serius kebimbangan penduduk setempat mengenai keselamatan kolam takungan itu terutama ketika musim hujan yang tidak menentu.
“Kerajaan negeri menjangkakan penyelesaian muktamad oleh JPS dapat dilaksanakan tidak lewat dari suku ketiga tahun ini sebelum musim Monsun Timur Laut bermula,” katanya, hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 35 rumah di taman itu terjejas selepas dinaiki air akibat limpahan kolam berkenaan yang pecah lagi, Rabu lalu.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu berlaku ketika hujan lebat menyebabkan ratusan penduduk kelam kabut memindahkan barang dan kenderaan ke tempat selamat.
Sebelum ini, kejadian kedua berlaku pada 29 Disember tahun lalu yang menjejaskan 200 rumah penduduk kawasan sama, manakala kali pertama ketika 2014.
Mengulas lanjut, kata Izham, beberapa langkah segera dikenal pasti dapat dilakukan di lokasi itu minggu ini.
“Ia antaranya melibatkan pelaksanaan kerja pengorekan dan membaiki kedudukan perangkap pengutip sampah di dalam kolam takungan itu.
“Pihak pemaju pula menjalankan pembaikan sementara ke atas struktur tembok kolam yang rosak. Berdasarkan pemerhatian, struktur itu kini dapat menampung aliran air biasa,” ujarnya.
Tambah beliau, Majlis Perbandaran Kuala Selangor(MPKS) dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) turut melaksanakan kerja pembersihan sejurus insiden itu.
“Kerajaan negeri memahami keresahan penduduk dan akan memastikan semua langkah mitigasi dan kerja penambahbaikan dilakukan mengikut piawaian keselamatan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN