BUENOS AIRES: Tiga institusi kewangan antarabangsa mengumumkan sokongan sebanyak AS$42 bilion (RM185.7 bilion) untuk Argentina yang kini bergelut dengan masalah kewangan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meluluskan sokongan kewangan baharu selamat empat tahun bernilai AS$20 bilion (RM88 bilion) untuk negara Amerika Selatan itu, manakala Bank Dunia akan menyuntik AS$12 bilion (RM53 bilion) ke dalam ekonomi.
Sementara itu, Bank Pembangunan Antar-Amerika (IDB) turut mengumumkan rancangan untuk perjanjian bernilai AS$10 bilion (RM44 bilion).
Sebahagian daripada wang itu dijangka akan disalurkan seawal minggu depan untuk membantu Argentina mempertahankan mata wang peso yang goyah, sebagai ganjaran politik bagi usaha agresif Presiden libertarian, Javier Milei dalam memulihkan nasib negara.
“Argentina akan menjadi negara dengan pertumbuhan ekonomi paling kukuh untuk 30 tahun akan datang,” kata Milei dalam ucapan di televisyen sambil mendakwa ekonomi negara akan berkembang tidak seperti sebelum ini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Luis Caputo berkata, Buenos Aires dijangka menerima AS$19 bilion (RM84 bilion) daripada IMF, Bank Dunia dan sumber lain termasuk IDB dalam tempoh 60 hari.
Ini adalah kali ke-23 IMF memberikan bantuan kewangan kepada Argentina sejak negara itu menjadi ahli institusi yang berpusat di Washington pada 1956.
Caputo sebelum ini berkata, dana IMF akan membolehkan penyusunan semula modal Bank Pusat dan meneruskan proses pengurangan inflasi.
Argentina, yang merupakan ekonomi ketiga terbesar di Amerika Latin, terus bergelut dengan pelbagai cabaran ekonomi seperti krisis kewangan, hiperinflasi dan kegagalan pembayaran, sudah berhutang sebanyak AS$44 bilion (RM194.5 bilion) dengan IMF sejak perjanjian pinjaman 2018.– AFP










