PETALING JAYA: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 menyaksikan kebangkitan akar umbi yang jelas menolak politik elit dan budaya kartel dalam parti itu.
Veteran PKR, Hassan Abdul Karim menyifatkan keputusan kali ini sebagai satu bentuk “hukuman demokratik” terhadap pemimpin yang dilihat tidak lagi mesra dengan akar umbi serta gagal menyantuni ahli parti di peringkat bawah.
“Ramai tokoh yang menang dalam pemilihan 2022 atas nama ‘Ayuh Malaysia’ yang dilihat cuba menyisihkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini tewas mengejut kepada calon-calon biasa yang tidak mempunyai sebarang jawatan tinggi.
“Mereka ini (pemimpin elit) selepas berada dalam kerajaan, jadi sukar dihubungi, tidak turun ke kawasan, dan seolah-olah melupakan ahli biasa yang pernah berjuang menaikkan mereka. Malah, ada yang keluar daripada kumpulan WhatsApp penyokong sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Hassan, fenomena itu mencerminkan rasa tidak puas hati akar umbi terhadap sikap segelintir pemimpin yang hanya aktif semasa pilihan raya, tetapi menghilang selepas mendapat kuasa.
Antara nama besar yang kecundang termasuk Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang tewas di Cabang Setiawangsa kepada Datuk Afdlin Shauki dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru.
“Pemilihan kali ini adalah revolusi demokrasi digital yang menjadi medan pembersihan politik kartel dan elit. Akar umbi telah bersuara dengan jelas di 222 cabang seluruh negara,” ujar Hassan.
Pemilihan peringkat Cabang dijangka menjadi cerminan hala tuju baharu parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang. – UTUSAN











