WASHINGTON: Rumah Putih memaklumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menjalani pemeriksaan fizikal tahunan dalam masa terdekat.
Trump, 78, berpotensi menjadi presiden tertua dalam sejara AS selepas dilantik kembali untuk penggal kedua pada 20 Januari lalu.
“Presiden Donald J. Trump akan melengkapkan pemeriksaan fizikal tahunannya bulan depan di Pusat Perubatan Ketenteraan Nasional Walter Reed.
“Tarikh pemeriksaan fizikalnya akan diumumkan kepada umum dalam beberapa minggu akan datang,” kata Rumah Putih dalam pengumuman, semalam.
Kenyataan itu ditandatangani oleh doktor Trump, Sean Barbabella, seorang doktor tentera berpengalaman serta pernah berkhidmat di Afghanistan dan Iraq.
Trump kelihatan bertenaga untuk usianya, namun pemeriksaan fizikal sebelum ini kadang kala menimbulkan persoalan mengenai keadaan kesihatan serta ketelusan keputusan yang diumumkan.
Walaupun beliau tidak minum alkohol atau merokok, Trump diketahui gemar menikmati makanan segera dan stik, sementara aktiviti fizikal utamanya adalah bermain golf.
Pemeriksaan fizikal semasa penggal pertamanya pada 2018, mencadangkan beliau untuk menurunkan berat badan, tetapi secara keseluruhan keadan kesihatannya baik.
Doktornya mendakwa, tiada tanda masalah kognitif dan dengan diet yang lebih sihat, Trump boleh hidup sehingga 200 tahun.- AFP










