KOTA KINABALU: “Kita bukan umum kerusi yang ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH) atau disandang oleh PH. Saya rasa tiada masalah untuk umumkan kerusi yang ingin kita pertahankan.”
Demikian pandangan Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan mengenai kenyataan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang mengingatkan parti-parti yang ingin menjalin kerjasama agar tidak mengumumkan kerusi atau calon masing-masing sebelum proses rundingan kerjasama selesai.
Fairuz yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri berkata, tiada masalah sekiranya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji mahu mempertahankan kerusi milik Parti Gagasan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.
“Kita faham kadang-kadang Ketua Menteri serius dan kadang-kadang suka bergurau tetapi, dia umum penyandang Datuk Mohd. Arsad Bistari akan pertahankan kerusi DUN Tempasuk.
“Bagi saya tidak ada masalah untuk Ketua Menteri selaku Presiden menyatakan sebegitu kerana ia memang kerusi asal Gagasan Rakyat. Bukan mengganggu kerusi mana-mana parti,” katanya semasa majlis berbuka puasa bersama media, di sini semalam.
Katanya, kerusi tersebut memang kerusi Gagasan Rakyat dan bukannya kerusi milik PH, jadi tiada masalah untuk Hajiji selaku Presiden Gagasan Rakyat mengumumkan perkara sebegitu kerana itu adalah haknya sebagai presiden.
Walau bagaimanapun, beliau tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Mustapha memberi pandangan yang berlainan dan pandangan itu akan dihormati.
Mengulas tentang calon muda, Fairuz yang juga ADUN Pintasan berkata, beliau bercadang mengemukakan empat atau lima nama calon anak muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Kita akan kemukakan kepada presiden, memandangkan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat diadakan esok (hari ini). Kita akan kemukakan senarai-senarai calon muda. Senarai itu termasuk muka baharu dan mereka yang pernah menjadi calon pada PRN16 yang kita nampak mempunyai kekuatan sebagai calon,” katanya. – UTUSAN











