BUAT pertama kali dalam sejarah, Malaysia bakal menghantar wakil perdananya untuk pertandingan nyanyian bertaraf antarabangsa, Eurovision Asia. Beban dan harapan dipindahkan kepada Aina Abdul yang mana pemilihan dibuat menerusi kemenangannya menerusi lagu Kamu dalam kategori Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-40. Syaratnya, Aina perlu menghasilkan satu lagu, mempersembahkannya dengan kualiti vokal dan persembahan sempurna di Bangkok, 14 November nanti.
Tidak tidur malam, Aina atau Nurul Aina binti Abdul Ghani, 33, mengakui berpindah satu studio ke studio berbeza bagi mendapatkan kualiti terbaik dalam lagu taruhannya, Bluest Sky.
Mengulas mengenai lagu tersebut yang bakal menentukan sama ada bakal membawa kemenangan buat negara atau tidak, Aina berkata dia telah menulis banyak lagu untuk Eurovision namun lagu ini dirasakan yang terbaik.
“Saya menjual ciri-ciri muzik Malaysia di dalam lagu ini juga pemuzik yang terlibat seperti seruling yang dimainkan oleh lagenda kita, Mohar. Dia adalah permata negara. Lagu ini dibuat dalam bahasa Inggeris kerana pertama selama ini saya bernyanyi dengan bahasa saya sendiri.
“Cuma saya merasakan pertandingan ini memerlukan saya menambat hati lebih ramai pendengar maka saya harus memilih bahasa universal. Saya harap semua dapat mendengar keindahan dalam lagu ini,” katanya ketika sesi mendengar khas bersama media di REXKL, semalam.
Mengulas lanjut, walaupun lagu ini sudah disiap dituliskan dalam sebulan, Aina mengakui cabaran seterusnya terletak kepada sesi rakaman yang jauh lebih rumit.
“Proses penulisan sebenarnya lebih mudah berbanding rakaman. Ketika menulis, saya ada satu perasaan yang terbuku di hati. Tetapi semasa merakam, ia melibatkan emosi yang berbeza kerana saya perlu menjiwai watak itu.
“Saya ingat lagi rakaman dari pagi sampai malam tidak selesai, yang mana itu adalah tempoh terlama bagi saya. Biasanya saya suka siapkan dalam masa dua jam, tetapi untuk lagu ini saya ambil masa kira-kira sepuluh jam.
“Saya berpindah studio dari Seremban ke KL semata-mata kerana tidak mendapat bunyi yang betul. Walaupun kedengaran indah, di sebaliknya banyak liku dan cabaran,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai salah satu kriteria penilaian di mana persembahan mesti meninggalkan impak kepada penonton selain kualiti vokal dan produksi lagu.
Aina berkata, dia telah mempunyai strategi dan mendapat kerjasama daripada banyak pihak yang membolehkannya menjadi lebih kreatif di pentas antarabangsa.
“Kita akan bereksperimen dengan banyak perkara sesuai tema ‘Bluest Sky’. Kita akan fikir di luar kotak.
“Saya mengharapkan semua orang dapat bagi sepenuh sokongan kepada saya dari segi komen dan sebagainya. Kita nak hantar ‘anak jati’ Malaysia ke luar, jadi sokonglah sepenuh hati dengan memberi komen yang baik,” katanya.
Ditanya adakah Aina ada menyemak pesaing yang bakal berentap dari 11 negara lain, anak jati Negeri Sembilan itu memilih untuk tidak melakukan demikian demi memelihara fikirannya daripada terbeban.
“Sejujurnya, untuk memastikan mental saya seimbang, saya tidaklah lihat kesemuanya. Tetapi saya percaya setiap negara menghantar wakil terbaik mereka ke Eurovision. Saya tahu semua orang hebat, tetapi bagi saya, saya tidak ahu membuat diri saya lebih tertekan daripada sedia ada.
“Jadi saya doakan peserta lain mendapat yang terbaik juga kerana saya tahu tekanannya sangat tinggi. Kita membawa semangat sebuah negara.
“Jadi untuk soalan itu, saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka. Tetapi saya cuba membantu minda saya sendiri agar tidak terlalu memikirkan orang lain,” katanya.
Terdahulu, Eurovision Song Contest memperkenalkan versi Asia yang dianjurkan hasil kerjasama European Broadcasting Union (EBU) serta Voxovation.
Edisi sulung pertandingan itu akan berlangsung pada 14 November di Bangkok, dengan peserta dari negara seperti Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Kemboja, Laos, Bangladesh, Nepal dan Bhutan.











