KLANG: Aktiviti sindiket pergerakan membawa keluar warga asing melalui jalan tidak sah untuk mereka pulang ke negara asal bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri didapati kembali aktif dalam media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu disedari pihaknya dan mengarahkan pasukan penguat kuasa bagi meneruskan operasi dan menghalang pergerakan merentasi sempadan secara tidak sah termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Ada sesetengah individu menawarkan perkhidmatan membawa keluar warga asing di beberapa platform media sosial, terutama sekali pada musim perayaan kali ini. Saya akui ada promosi dilakukan kerana individu itu mahu tarik perhatian warga asing untuk pulang ke negara masing-masing, sekali gus mereka boleh jana keuntungan.
“Saya ingin menegaskan, semua pintu masuk dan keluar daripada negara ini daripada apa-apa laluan sekalipun dikawal ketat, 24 jam,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelinciran Operasi (Op) Khas Pagar Laut 1/2025, malam tadi.
Jelasnya, adalah terlalu berisiko bagi warga asing untuk keluar daripada negara ini secara tidak sah kerana mereka menaiki bot yang tidak mempunyai ciri keselamatan yang baik.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kerajaan memperkenalkan Program Repatriasi Migran pada 1 Mac tahun lalu untuk memberi peluang kepada PATI pulang ke negara asal dengan syarat mereka perlu membayar kompaun.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaban berkata, sejumlah 246,732 PATI tampil menyertai program tersebut dari 1 Mac hingga 31 Disember tahun lalu.
Kata Saifuddin, beliau menyeru warga asing yang ingin pulang ke kampung halaman supaya melalui proses imigresen yang sah, bagi membolehkan mereka melakukan perjalanan yang lebih selamat.
“Macam Program Repatriasi Migran yang sedang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang jalankan ketika ini, kita beri peluang peluang kepada PATI untuk serah diri kepada JIM dan mereka dibenarkan pulang ke negara asal selepas mereka membayar kompaun.
“Harap warga asing dan PATI abaikan iklan perkhidmatan sindiket dalam media sosial kerana sempadan negara dikawal ketat,” tegasnya. – UTUSAN