32 PATI sorok dalam ladang kelapa sawit diberkas

32 PATI sorok dalam ladang kelapa sawit diberkas

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) disorok dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sekendi, Sabak Bernam ditahan polis, pagi tadi. 

Operasi itu dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 19 serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi kira-kira pukul 3.30 pagi itu berjaya menahan 32 warga asing berusia setahun hingga 52 tahun. 

Katanya, hasil intipan selama enam jam mendapati kesemua PATI cuba diseludup masuk sebelum ditempatkan dalam ladang kelapa sawit terbabit. 

“Tangkapan membabitkan 15 lelaki, 14 wanita, seorang kanak-kanak perempuan serta dua kanak-kanak lelaki.

“Susek yang bertindak sebagai tekong darat akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Bagi tangkapan migran pula diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)((C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Menurutnya, polis akan mempertingkatkan operasi bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN