Pelita kekabu kian dilupakan

Pelita kekabu kian dilupakan

MOHD. Hafizul Mohd. Nor (duduk, kiri) menyediakan pelita kekabu kepada pengunjung bagi merasai pengalaman berharga mengimbau nostalgia Syawal seperti zaman dahulu pada Program Pelita Raya Terengganu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Warisan pelita kekabu yang popular di Hulu Besut sekitar 1960-an, kini semakin dilupakan seiring peredaran zaman dan kemunculan pelbagai jenis lampu moden.

Di beberapa kampung di Hulu Besut, suatu ketika dahulu terdapat banyak pokok kekabu yang tumbuh meliar, namun kini bilangannya semakin berkura­ngan akibat pembangunan dan kurangnya penanaman semula.

Mohd. Hafizul Mohd. Nor, 43, dari Pejabat Daerah Besut berkata, tradisi memasang pelita kekabu khususnya pada Malam Tujuh Likur banyak dihidupkan di Alor Keladi dan Pasir serta kawasan sekitarnya.

“Dahulu, pelita kekabu cukup popular, ia menjadi sumber cahaya utama masyarakat kampung terutama ketika menyambut Ra­madan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Di kawasan Hulu Besut terdapat banyak pokok kekabu yang tumbuh namun semakin sukar ditemukan,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Program Pelita Raya di sini.

Menurut Mohd. Hafizul, musim buah kekabu lazimnya sekitar Februari apabila pokok mula berputik sebelum mengeluarkan buah yang dipenuhi serat lembut.

“Selama ini orang hanya tahu buah kekabu digunakan untuk menghasilkan bantal dan tilam, sedangkan tumbuhan itu mempunyai pelbagai fungsi lain termasuk dijadikan pelita tradi­sional,” katanya.

Menurutnya, sumbu pelita dihasilkan daripada serat ke­kabu kering yang disumbat ke dalam buah kekabu yang telah dibersihkan.

“Pelita itu kemudian diisi minyak tanah sebelum dinyalakan. Pelita kekabu mampu bertahan antara satu hingga dua jam bergantung kepada kuantiti minyak digunakan,” katanya.

Menurutnya, dia membawa kira-kira 800 biji buah kekabu untuk digunakan dalam Program Pelita Raya kali ini.

Dia berharap perkongsian mengenai keunikan pelita kekabu dapat membuka mata masyarakat khususnya gene­rasi muda tentang kepelbagaian fungsi pokok berkenaan.

“Kalau tidak dipelihara sekarang, mungkin satu hari nanti anak cucu kita langsung tidak mengenali pelita kekabu. Hanya melalui program sebegini dapat tunjuk kepada generasi muda pelita kekabu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN