Pemimpin jangan jadi ‘api di dalam sekam'

Pemimpin jangan jadi ‘api di dalam sekam’

Pemimpin
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima yang terdiri daripada asnaf, fakir, miskin dan mualaf pada Majlis Berbuka Puasa Ihya’ Ramadan dan Sumbangan Hari Raya serta perasmian masjid itu, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur pemimpin supaya tidak menjadi ‘api di dalam sekam’ yang menyebabkan pertelingkahan dan persengketaan dalam masyarakat.

Baginda bertitah, para pemimpin dalam kalangan umat Islam sendiri sama ada politik ataupun agama hendaklah menjadi teladan yang utama dalam usaha mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan.

Menurut baginda, para pemimpin perlu mengangkat martabat umat Islam supaya lebih bersatu-padu dan kuat di dalam menghadapi era yang kian mencabar ini.

Malah, Sultan Selangor mahu umat Islam khususnya di negeri ini menjadikan Ramadan sebagai titik tolak kepada pembentukan amanah dan akhlak tinggi yang mencerminkan iman seseorang Muslim.

“Masyarakat Islam khususnya di Selangor juga hendaklah sama-sama memainkan peranan untuk mengekalkan perpaduan yang sedia ada di Negeri ini. Walaupun terdapat perbezaan pandangan sesama umat Islam, carilah titik persamaan untuk diraikan dan elakkan daripada membesar-besarkan perkara kecil yang mampu membawa kepada bibit perpecahan.

“Janganlah mengamalkan sikap caci-mencaci dan memfitnah antara satu sama lain kerana ia akan menjadi barah yang akan membunuh perpaduan umat Islam. Memelihara tali persaudaraan dan memperkukuh ukhuwah serta rasa kebersamaan adalah sangat dituntut dalam Islam,” titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Ihya’ Ramadan dan Sumbangan Hari Raya serta perasmian Masjid Denai Alam.

Pada majlis tersebut, baginda berkenan menamakan masjid itu sebagai Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin dalam titahnya memberitahu baginda menyerahkan sejumlah RM35,273,200 peruntukan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 75,207 orang asnaf, fakir, miskin dan mualaf yang menerima RM500 sebagai sumbangan Hari Raya Aidilfitri di seluruh negeri sejak 2 Ramadan pada 3 Mac lalu.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut nasihatkan umat Islam supaya bersifat amanah dan jujur berikutan keresahan baginda terhadap laporan ketidakjujuran dan isu integriti oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab umpamanya kes kecurian dan penyelewengan duit tabung masjid, anak yatim dan kutipan zakat.

“Malah di peringkat yang lebih besar penipuan oleh syarikat-syarikat pelancongan tanpa lesen yang mengendalikan pakej haji dan umrah seringkali dilaporkan. Mereka yang melakukan penipuan memperolehi keuntungan besar atas kesusahan umat Islam yang lain.

Semua itu melibatkan duit milik orang Islam dan pelakunya kebanyakannya adalah dari kalangan orang Islam sendiri. Kenapa semua ini harus berlaku di dalam masyarakat Islam. Kenapa perlu diseleweng dan dicuri duit milik orang Islam ini? Tidakkah mereka ada sedikit perasaan simpati kepada mangsa yang ditipu?” soal baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya