PETALING JAYA: Keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP 2025-2028 disifatkan sebagai ‘ombak besar’ yang benar-benar inginkan perubahan, sekali gus meletakkan representasi kaum bukan isu untuk seseorang dipilih menjadi pemimpin dalam parti itu.
Young Syefura Othman berkata, sifat keterbukaannya itu menunjukkan kematangan sesebuah parti dalam evolusinya sebagai parti progresif berbilang kaum.
“Ia menunjukkan DAP telah pun membuktikan keterbukaannya untuk mengangkat pemimpin-pemimpin yang layak tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Ini termasuklah pelantikan pimpinan melayu melalui undian ke dalam pimpinan tertinggi pusat. Bukan sekadar reprentasi kaum, malah semakin ramai pemimpin muda dan wanita yang berjaya diangkat ke dalam CEC,” kata Young Syefura yang juga ahli Parlimen Bentong ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pemilihan tersebut, dua daripada enam pemimpin Melayu berjaya menempatkan dari dalam jawatankuasa berkenaan iaitu Young Syefura dengan undian, 1,943 dan Syahredzan Johan, 2,065 undi.
Calon Melayu lain yang turut bertanding iaitu Azaha Abdul Rani hanya mendapat undian sebanyak 191, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali (478), Supian Zaharin (170) dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (694).
Untuk pemilihan kali ini juga, Young Syefura yang lebih dikenali sebagai Rara dilantik sebagai Penolong Setiausaha Publisiti, sementara Syahrezan dilantik sebagai naib Pengerusi Kebangsaan.
Dalam pada itu, Syahredzan turut berkata, lebih 3,700 perwakilan DAP kali ini tidak teragak-agak untuk memilih pimpinan daripada etnik Melayu dalam CEC meskipun bilangan perwakilan etnik Cina dan India jauh lebih ramai.
“Ini juga menunjukkan perkembangan yang positif, kalau kita lihat tiga tahun lepas hanya seorang sahaja yang terpilih iaitu Young Syefura.
“Ia juga membuktikan bahawa parti DAP mempunyai kepimpinan daripada pelbagai lapisan bangsa dan agama,” ujarnya. – UTUSAN










