LONDON: Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, sedang mempertimbang untuk mengenakan bayaran kepada pengguna United Kingdom (UK), bagi akses kepada versi tanpa iklan susulan penyelesaian dalam kes privasi.
Meta bersetuju berhenti menyasarkan pengguna dengan iklan berdasarkan data peribadi mereka selepas perjanjian undang-undang yang mengelakkan perbicaraan di mahkamah tinggi di London.
Aktivis hak asasi manusia, Tanya O’Carroll, memfailkan saman bernilai AS$1.5 trilion (RM6.6 trilion) terhadap syarikat itu pada 2022, mendakwa ia melanggar undang-undang data UK dengan tidak menghormati haknya untuk menuntut Facebook berhenti mengumpul dan memproses data bagi tujuan penyasaran iklan.
Kelmarin, kedua-dua pihak mencapai penyelesaian, dengan O’Carroll menganggap ia satu kemenangan buatnya selepas Meta berjanji untuk tidak lagi menggunakan data peribadi bagi tujuan iklan.
Pendirian O’Carroll disokong oleh badan pemerhati data UK, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO), yang menegaskan orang ramai berhak membantah penggunaan maklumat peribadi bagi tujuan pemasaran langsung.
Meta pula berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan dakwaan O’Carroll dan menegaskan syarikat itu mengambil serius tanggungjawabnya di bawah undang-undang privasi UK.
Gergasi media sosial itu turut memaklumkan rancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan langganan di UK, di mana pengguna boleh membayar yuran perkhidmatan tanpa iklan.
Pengiklanan kini menyumbang kira-kira 98 peratus daripada pendapatan Meta.
“Kami sedang meneroka pilihan untuk menawarkan langganan kepada pengguna di UK dan akan berkongsi maklumat lanjut kelak,” kata Meta.
Tahun lalu, ICO berkata sedang meneliti bagaimana undang-undang perlindungan data UK akan terpakai kepada perkhidmatan langganan tanpa iklan.
Meta sudah pun menawarkan perkhidmatan tanpa iklan di Kesatuan Eropah (EU) dengan bayaran 7.99 euro (RM38) sebulan, susulan keputusan Mahkamah Keadilan Eropah pada 2023.– THE GUARDIAN










