PETALING JAYA: Proton terus memperkukuh jenamanya di persada antarabangsa menerusi pelancaran model Proton X50 di Trinidad dan Tobago, sekali gus menjadikan negara Caribbean itu pasaran eksport kedua bagi model berkenaan selepas Brunei.
Pelancaran tersebut dikendalikan oleh pengedar tempatan, ANSA Motors, sebagai sebahagian daripada strategi Proton untuk meluaskan jejak globalnya dalam segmen SUV moden.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Edmund Lim Meng Thong berkata, Trinidad dan Tobago merupakan pasaran strategik yang memainkan peranan utama dalam agenda eksport syarikat di rantau Caribbean.
“Pengenalan Proton X50 di sana mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan pasaran tersebut serta kekuatan kerjasama bersama rakan pengedar tempatan.
“Menjelang 2026, PICSB komited untuk terus memperluaskan jejak eksport menerusi pengenalan model baharu, pengukuhan rangkaian pengedaran dan peningkatan jumlah eksport keseluruhan merentasi pelbagai rantau,” katanya dalam kenyataan.
Proton X50 dipacu oleh enjin turbo i-GT 1.5 liter yang menghasilkan 181PS dan tork 290Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang menawarkan penggunaan bahan api cekap pada kadar 6.1 liter bagi setiap 100 kilometer.
Dari segi keselamatan, model ini dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS), termasuk kamera 360 darjah dan bantuan parkir pintar bagi meningkatkan perlindungan penumpang.
Sementara itu, Pengurus Besar Jualan Kenderaan Baharu ANSA Motors, Marc Pontifex berkata, Proton X50 menawarkan pengalaman pemanduan premium pada harga kompetitif yang sesuai dengan gaya hidup pengguna di negara tersebut.
Prestasi eksport Proton menunjukkan momentum positif apabila mencatatkan jualan sebanyak 6,000 unit pada tahun 2025, iaitu paras tertinggi sejak bermulanya kerjasama antara Proton dan Geely.
Tambah Meng Thong, usaha peluasan pasaran ini tidak hanya terhad kepada model enjin pembakaran dalaman (ICE), malah turut merangkumi kenderaan elektrik (EV) Proton bagi membawa nilai jenama tersebut kepada lebih ramai pelanggan di seluruh dunia.-UTUSAN










