MPOC jana potensi jualan minyak sawit RM47.5 juta di Asia Tengah

MPOC jana potensi jualan minyak sawit RM47.5 juta di Asia Tengah

BELVINDER Sron (kiri) bersama Karomidin Gadoev di BizMatch yang berlangsung baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berjaya merekodkan anggaran potensi jualan sebanyak RM47.5 juta hasil daripada lawatan rangkaian perdagangan melibatkan 35 pembeli dari negara-negara Republik Asia Tengah.

Kejayaan itu dicapai menerusi sesi BizMatch yang menyaksikan sebanyak 352 mesyuarat berstruktur diatur antara 18 pembekal Malaysia dengan delegasi pembeli yang terdiri daripada pengeluar makanan merangkumi segmen konfeksi, ais krim, bakeri dan marjerin.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, Asia Tengah mewakili pasaran pertumbuhan yang sangat menjanjikan bagi minyak sawit Malaysia, terutamanya dalam segmen nilai tambah seperti lemak khusus dan aplikasi pembuatan makanan.

“Penglibatan kukuh yang diperhatikan sepanjang lawatan ini mencerminkan peningkatan keyakinan dalam kalangan pembeli serta kesediaan pembekal Malaysia untuk menyokong pasaran di rantau tersebut.

“MPOC akan terus memperdalam penglibatan di Asia Tengah dengan meneroka model perdagangan berdaya maju bagi meningkatkan daya saing pembekal tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Sepanjang program tersebut, delegasi pembeli diberi pendedahan terus kepada ekosistem minyak sawit bersepadu Malaysia, termasuk lawatan ke ladang, kemudahan pukal di Johor Bahru, serta pusat penapisan moden bagi melihat inovasi produk hiliran.

Sementara itu, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev yang turut hadir dalam sesi tersebut, menyatakan sokongan padu terhadap usaha memperluas kerjasama perdagangan kedua-dua pihak.

Beliau menggalakkan pembekal Malaysia untuk mewujudkan kehadiran yang lebih kukuh di rantau tersebut, termasuk menempatkan stok simpanan di Uzbekistan bagi meningkatkan kecekapan pengedaran.

“Kerajaan Uzbekistan sedia menyokong inisiatif tersebut menerusi langkah kemudahan perdagangan dan sokongan infrastruktur bagi membolehkan minyak sawit Malaysia menembusi pasaran Asia Tengah dengan lebih meluas,” jelasnya.

Sebagai susulan kepada momentum positif ini, MPOC merancang untuk melaksanakan program susulan bagi memastikan peluang perniagaan yang dijana dapat ditukarkan kepada rakan kongsi perdagangan yang mampan dalam jangka masa panjang.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN