PETALING JAYA: inDrive memperkenalkan inisiatif komisen 1.0 peratus untuk pemandu e-hailing sedia ada dan bakal pemandu di Kuala Lumpur, berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mei 2026.
Inisiatif itu membolehkan pemandu mengekalkan sehingga 99 peratus daripada setiap tambang sepanjang tempoh kempen.
Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, struktur komisen serta ketelusan harga amat penting bagi memastikan kelestarian jangka panjang pekerjaan gig, khususnya di Malaysia yang menyaksikan e-hailing kekal sebagai sumber pendapatan utama ramai individu.
Beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengembalikan lebih banyak pendapatan kepada pemandu, di samping mengukuhkan komitmen syarikat terhadap model yang lebih adil dan telus.
“Pemandu adalah tulang belakang ekosistem e-hailing dan kami percaya mereka berhak menerima bahagian nilai yang lebih adil daripada sumbangan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, inisiatif itu diperkenalkan ketika pekerja gig berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Katanya, kenaikan harga bahan api susulan ketidaktentuan global terus memberi tekanan kepada kos operasi harian serta pendapatan keseluruhan pemandu.
“Bagi kebanyakan pemandu e-hailing, kos bahan api, insurans dan penyelenggaraan kenderaan merupakan perbelanjaan tidak dapat dielakkan yang secara langsung menjejaskan pendapatan bersih mereka.
“Dalam keadaan ini, struktur komisen platform memainkan peranan semakin penting dalam menentukan sama ada pekerjaan gig kekal mampan.
“Inisiatif ini dirangka bagi menangani cabaran tersebut dengan menawarkan struktur pendapatan lebih menguntungkan serta memberi pemandu kawalan lebih besar terhadap pendapatan mereka,” ujarnya.
Sebelum ini, inDrive mengekalkan kadar komisen antara terendah di Malaysia, sekali gus menjadikannya pilihan mesra pemandu dalam pasaran.
Syarikat itu turut menggunakan model penetapan harga peer-to-peer yang membolehkan pemandu dan penumpang mencapai persetujuan bersama terhadap tambang, berbanding bergantung sepenuhnya kepada struktur harga berasaskan algoritma.
Pendekatan itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui fleksibiliti, ketelusan serta kawalan yang lebih tinggi terhadap pengalaman perjalanan.-UTUSAN










