MADA perlu 172 blok tersier baharu - Utusan Malaysia

MADA perlu 172 blok tersier baharu

SEBUAH jentera memindahkan tuaian padi ke sebuah lori sebelum dihantar ke kilang setelah aktiviti menuai dilakukan di Kampung Aceh di Kuala Nerang.-UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memerlukan sebanyak 172 blok sistem pengairan tersier baharu untuk menyokong aktiviti penanaman padi di 100,641 hektar sawah di Kedah dan Perlis.

Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, buat masa ini sebanyak 72 blok tersier baharu telah siap dan sedang dibina di kawasan-kawasan terlibat sebagai menaik taraf tersier sedia ada yang sudah berusia puluhan tahun.

“MADA masih memerlukan 100 lagi blok tersier baharu atau dalam kalangan pesawah di sini dikenali sebagai ‘parit gila’. Jadi bermakna untuk keseluruhan 100,641 hektar sawah padi jumlah tersier yang diperlukan adalah 172 blok.

“Selama ini tersier dibina mengikut Rancangan Malaysia dan kalau konsep ini diteruskan baki 100 blok yang diperlukan di MADA sudah tentu akan mengambil masa lebih 50 tahun dari sekarang untuk disiapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun Di Kawasan MADA.

Bagi fasa pertama projek itu, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk pembangunan dan penyelenggaraan 15 blok tersier projek pemulihan menyeluruh Empangan Pedu.

Menurut Dr. Ismail, apabila Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau memutuskan untuk mempercepat pembinaan 100 blok itu melalui kerjasama awam dan swasta iaitu secara pelawaan cadangan (RFP).

“Kumpulan MMC melalui MMC Infra Padi Sdn. Bhd. telah memenangi bidaan ini dan nilai projek sebagai mana yang diumum awal oleh Perdana Menteri adalah RM3 bilion telah meningkat kepada RM5.4 bilion setelah dilihat semula keseluruhan projek ini.

“Tetapi untuk fasa pertama maka dilancarkan dahulu RM1 bilion untuk membina 15 blok baharu tersier dan membaiki Empangan Pedu yang keseluruhan projek ini adalah untuk menyokong penanaman padi sebanyak lima musim dalam masa dua tahun,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN