Kempen Sentuhan Ikhlas capai 5 juta transaksi MyDebit

Kempen Sentuhan Ikhlas capai 5 juta transaksi MyDebit

PENERIMA manfaat B40 yang terpilih daripada dana Sentuhan Ikhlas membeli barangan keperluan di pasar raya di Batu Caves, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen Sentuhan Ikhlas oleh Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR), dengan Payments Network Malaysia (PayNet) dan Yayasan MyKasih (MyKasih) berjaya mencapai 5 juta transaksi MyDebit sejak dilancarkan September tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Muhammad Nizam Alias berkata, dengan pencapaian ini, sumbangan terakhir sebanyak RM250,000 telah diagihkan kepada 500 lagi keluarga berpendapatan rendah di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, bantuan membolehkan keluarga tersebut membeli barangan keperluan asas dan keperluan isi rumah sekali gus meringankan beban mereka dan memeriahkan persiapan menyambut kedatangan Syawal.

“Sentuhan Ikhlas adalah cerminan langsung terhadap matlamat bersama ALR, PayNet dan MyKasih dalam mencipta impak sosial yang mampan.

“Dengan menggabungkan keterangkuman kewangan dan pembayaran digital, Sentuhan Ikhlas membuktikan bahawa kuasa kebaikan kolektif melalui tindakan harian seperti memilih MyDebit untuk pembayaran tol mampu memberikan perubahan bermakna kepada kehidupan ramai orang,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Kanan Bahagian Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor pula berkata, bayaran tol melalui MyDebit menyediakan transaksi kewangan yang lebih efektif.

Kata beliau, kempen itu membuktikan bahawa pembayaran digital bukan sekadar memudahkan urusan, malah boleh menjadi pemacu kesejahteraan bersama.

“Dengan memilih MyDebit, rakyat Malaysia secara langsung telah menyumbang kepada peningkatan taraf hidup komuniti.

“Kami akan terus komited dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih inklusif untuk semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×