KUALA LUMPUR: Enam buah negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis ditegur agar tidak mengharapkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan semata-mata.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, mengecilkan jurang kemiskinan adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh kerajaan negeri masing-masing supaya dapat menarik pelaburan dan perniagaan.
“Peruntukan kepada enam negeri termiskin Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah adalah jumlah peruntukan jauh lebih banyak daripada negeri lain. Itu dikekalkan.
“Cuma saya berharap untuk menutup jurang ini tidak diserahkan kepada kerajaan Persekutuan semata-mata, ini tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh kerajaan negeri masing-masing, supaya bila ada hubungan begini, baru boleh tarik pelaburan dan perniagaan masuk” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai penambahbaikan dilaksanakan bagi memperkemas dan memperkasa proses pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta mengelakkan kelewatan dan kegagalan projek berkepentingan awam
“Permohonan untuk mendapatkan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan sudah berlaku sejak 2021 dan masih diteruskan sehingga sekarang.
“Tiada tanda-tanda jurang (kemiskinan) itu akan dapat ditutup dengan baik di beberapa buah negeri, kecuali saranan saya, kerajaan negeri sambut baik dan mempunyai kerangka ekonomi yang mesra perniagaan untuk diusahakan bersama,” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan asal Riduan Rubin (Bebas-Tenom), Rafizi berkata, melalui pendekatan baharu, pelaksanaan projek di bawah RMK-13 dipecahkan kepada dua kategori.
“Projek bernilai tinggi dengan kos melebihi RM300 juta, permohonan hanya boleh dikemukakan setiap dua tahun sekali bermula rancangan pembangunan antara 1 hingga 31 Mac 2025. Sekiranya tidak dikemukakan kali ini, permohonan seterusnya adalah pada 2027.
“Bagi projek bernilai di bawah RM300 juta, ia boleh dikemukakan setiap tahun menerusi ‘rolling plan’ seperti biasa,” katanya. – UTUSAN










