Isu kuil selesai

Isu kuil selesai

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan anggota polis ketika hadir pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu pemindahan kuil di Jalan Masjid India selesai apabila pihak pengurusan rumah ibadat itu bersetuju untuk berpindah ke tapak baharu yang terletak hanya 50 meter dari lokasi asal.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang isu yang timbul jika dibawa ke meja rundingan pasti akan dapat diselesaikan dengan baik.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa negara ini mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi semua pihak.

“Kita negara hukum, kena ikut hukum. (Tetapi) oleh kerana hendak jaga hubungan antara kaum, kita lakukan rundingan dengan baik kerana itu tempat kepercayaan dan amalan agama,” katanya pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini semalam.

Perdana Menteri menyatakan kekesalan berikutan tindakan pihak tertentu memainkan naratif dan sentimen berniat jahat bahawa pembinaan masjid di tapak tersebut akan menyebabkan kuil berkenaan dirobohkan.

Katanya, cadangan pembinaan Masjid Madani tidak pernah membincangkan soal merobohkan rumah ibadat penganut agama lain.

Anwar berkata, tanah itu dimiliki pihak tertentu dan memerlukan kebenaran pemiliknya jika sebarang struktur bangunan termasuk rumah ibadat mahu dibina di atas lot berkenaan.

Beliau juga berkata, majlis meletakkan batu asas pembinaan masjid di tapak yang menjadi pertikaian dengan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, akan tetap diteruskan esok.

“Masjid di kawasan berdekatan kini sudah sesak dan perlu adanya tempat baharu. Jadi sebab itu saya akan teruskan meletakkan batu asas masjid pada 27 hari bulan ini (esok),” katanya.

Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel) yang juga pemilik tanah itu mewakafkan aset tersebut bagi pembinaan masjid.

Isu pembinaan Masjid Madani menjadi hangat apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lawyers for Liberty (LFL) dan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk S. Ambiga mempertikaikan persetujuan Perdana Menteri untuk merasmikan pembinaan masjid tersebut.

Anwar berkata, pihak berkuasa akan memastikan kuil itu akan dipindahkan secara baik ke kawasan baharu atas ihsan DBKL selain pembayaran ganti rugi walaupun secara asasnya tiada pampasan perlu dibuat.

“Jawatankuasa (kuil) setuju berunding, tetapi ada penghasut-penghasut entah dari mana dengan bicara yang melampau (bahawa) saya ini sebagai orang Islam hendak hancurkan semua penganut agama Hindu. Tidak sama sekali.

“Tidak pernah diajar oleh agama saya untuk memusuhi atau merosakkan harta benda mereka, tetapi jangan mereka anggap kita ini lemah.

“Ada masjid di Lahad Datu dirobohkan kerana tak ikut aturan, surau di Perak dirobohkan kerana enggan (patuh) majlis agama dan ada masjid di Sentul yang dirobohkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun kuil Dewi Sri Pathrakaliamman diberi tapak baharu oleh DBKL, ia tidak bermakna semua kuil tanpa permit akan mendapat layanan sama.

“Biarlah soal teknikal masjid (berusia) 50 tahun atau kuil (berusia) 100 tahun, tak mengapa, jangan robohkan (tetapi) pindahkan dengan baik.

“Tetapi tak semestinya setiap kuil tak mendapat permit tanah harus diberikan tanah ganti oleh kerajaan. Sekarang ada 130 kuil tak ada permit di Kuala Lumpur,  (lebih) 300 di Kedah dan entah berapa ratus di Perak. Tak boleh begitu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×