Berkelakuan tidak senonoh: Doktor pakar ditahan buat kali ketiga

Berkelakuan tidak senonoh: Doktor pakar ditahan buat kali ketiga

ABDUL ROZAK MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang doktor pakar ditahan semula buat kali ketiga selepas disyaki ber­kelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Mohammad ketika mengesahkan perkara itu berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, semalam.

“Suspek telah ditangkap semula bersangkut laporan kes ketiga dan akan dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan selesai.

“Tangkapan semula suspek adalah untuk melengkapkan kertas siasatan kes ini dan setakat ini, dia tidak akan direman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Doktor pakar forensik itu ditahan buat kali pertama pada 26 Februari lalu atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja, namun, dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman.

Bagaimanapun, dia ditahan semula Khamis lalu selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang pesakit wanita warga tempatan di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus, tahun lalu.

Bagi kes kedua itu, suspek direman selama empat hari dan tempoh reman tamat semalam.

Dalam kes ketiga Jumaat lalu, seorang lagi wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa suspek memperda­yanya supaya menanggalkan pakaian ketika melakukan pe­meriksaan jantung di sebuah hospital pada 20 Februari lalu.

Menurut mangsa, dia turut diarah oleh suspek untuk berlari setempat dan segala tindakan dan perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Ke­salahan Kecil 1955. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN