WHO sambung semula vaksinasi polio di Gaza

WHO sambung semula vaksinasi polio di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan program vaksinasi polio secara besar-besaran di Gaza akan disambung semula pada 22 Februari ini, menyasarkan hampir 600,000 kanak-kanak selepas virus itu kembali dikesan di wilayah berkenaan yang musnah akibat peperangan.

Menurut agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, setakat ini tiada kes baharu dilaporkan selepas seorang bayi berusia 10 bulan di Gaza mengalami lumpuh akibat jangkitan polio pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, WHO memaklumkan virus polio kembali ditemui dalam sampel air sisa di Gaza pada Disember dan Januari lalu, sekali gus menunjukkan penularannya masih berlaku dalam persekitaran dan terus mengancam kanak-kanak.

“Kehadiran virus ini masih menjadi risiko kepada kanak-kanak yang mempunyai imuniti rendah atau tiada imuniti langsung, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di seluruh rantau ini,” kata WHO dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, kempen vaksinasi akan dilaksanakan dari 22 hingga 26 Februari bagi memastikan lebih 591,000 kanak-kanak menerima suntikan vaksin polio oral.

WHO menyatakan program ini bertujuan memastikan semua kanak-kanak berumur bawah 10 tahun, termasuk yang sebelum ini terlepas peluang mendapatkan vaksin, menerima perlindungan bagi menamatkan wabak tersebut.

Pusingan vaksinasi seterusnya dijadualkan pada April.

Poliovirus yang boleh mengakibatkan kecacatan serta kelumpuhan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun lazimnya merebak melalui air sisa dan sumber air yang tercemar.

Sebelum ini, selepas kes pertama dilaporkan pada Ogos, Israel bersetuju dengan jeda peperangan bagi membolehkan dua pusingan vaksinasi dijalankan di Gaza pada September dan Oktober lalu.

WHO menyatakan program tersebut berjaya mencapai lebih 95 peratus daripada sasaran kanak-kanak yang perlu divaksinasi namun, beberapa kawasan di utara Gaza seperti Jabalia, Beit Lahiya dan Beit Hanoun gagal menerima dos kedua kerana masalah akses.

Akibatnya, kira-kira 7,000 kanak-kanak masih belum menerima dos lengkap.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN