KUALA LUMPUR: Perdana Menteri meminta mana-mana pemimpin tidak mempolitikkan isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai modal kempen semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berkenaan melibatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dan masih berjalan seperti biasa.
Beliau berkata, segala persoalan mengenai JS-SEZ sudah dijelaskan oleh Menteri Ekonomi sebagai agenda ekonomi nasional yang meletakkan Johor sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara.
“Ada isu-isu seperti yang dibangkitkan umpamanya JSEZ itu tidak betul. Itu sudah dijelaskan oleh Menteri Ekonomi semalam. Ini adalah projek Kerajan Persekutuan bersama kerajaan negeri.
“Soal hendak mengumumkan tanda tangan itu adalah soal Perdana Menteri Malaysia dengan Perdana Menteri Singapura. Itu perkara besar. Belum lagi sampai ke tahap itu.
“Tak perlu jadikan ini sebagai isu. Pelaksanaan projek (JS-SEZ) masih berjalan yang mencecah belanja tinggi. Sudahlah tidak berterima kasih, dia menggunakan masa kempen untuk mencela. Itu tidak kena dan tidak cerdik,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin di Taman Kobena, Cheras, di sini hari ini.
Semalam, Kerajaan Negeri Johor menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera mengumumkan pelan induk JS-SEZ bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap negeri itu terus dikekalkan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan induk berkenaan tidak wajar ditangguhkan lagi sehingga Retreat Pemimpin Malaysia-Singapura pada penghujung tahun memandangkan ia tidak memerlukan kelulusan Singapura. – UTUSAN










