Inisiatif Teksi Madani lonjak pendapatan pemandu

Inisiatif Teksi Madani lonjak pendapatan pemandu

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional dapat melonjakkan pendapatan pemandu teksi mencecah RM7,000 sebulan dengan kerjasama pengurangan kos pembaikan, servis, perkhidmatan serta kos pinjaman yang dirancangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara inisiatif yang dirancang di bawah program itu adalah pinjaman mudah, penyediaan kereta baharu iaitu Proton S70 dan permit di atas nama pemandu.

Katanya, kerajaan membuat satu keputusan dasar penting iaitu menetapkan permit teksi diberikan atas nama pemandu secara kekal dan tidak boleh dipindah milik bagi menjaga dan menjamin kepentingan keluarga golongan tersebut.

“Ada satu perkara yang dibangkitkan kebelakangan ini iaitu mengenai pendapatan pemandu teksi sebulan. Ada yang pada musim tertentu pendapatan mereka turun sehingga RM2,500 atau RM3,000.

“Secara purata, sekitar RM4,000 namun untuk mencecah RM5,000 sebulan adalah sesuatu yang agak sukar.

“Namun dalam skim ini, saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Kita mesti ada perancangan baharu.

“Dalam perancangan baharu ini, dengan kerjasama pengurangan kos pembaikan, servis, perkhidmatan serta kos pinjaman, kita menjangka pendapatan boleh meningkat antara RM5,000 hingga RM7,000. Ini bermakna pemandu boleh hidup dengan lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN