Trump umum tarif kereta import 2 April

Trump umum tarif kereta import 2 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang untuk mengumumkan tarif ke atas kereta import pada 2 April ini, yang menambahkan lagi rangkaian levi sejak mengambil alih jawatan.

Bagaimanapun, kenyataan Trump tidak menyatakan sama ada tarif itu akan dikenakan ke atas semua import kenderaan.

Sejak memegang jawatan pada 20 Januari, Trump menyasarkan sekutu dan musuh dengan ancaman duti baharu.

Beliau menganggap tarif sebagai cara untuk meningkatkan pendapatan, memperbaiki ketidakseimbangan perdagangan dan memberi tekanan kepada negara lain untuk bertindak mengikut kepentingan AS.

Pakar memberi amaran tarif ke atas import AS sering kali ditanggung oleh rakyat Amerika sendiri, bukan pengeksport asing.

Ditanya jangkaan untuk beliau mengumumkan tarif ke atas kenderaan, Trump hanya memberitahu sekitar 2 April ini tanpa memberikan butiran lanjut kelmarin.

Kira-kira 50 peratus daripada kereta yang dijual di AS dihasilkan dalam negara.

Bagi import, kira-kira separuh datang dari Mexico dan Kanada, manakala selebihnya berasal dari negara pengeluar kenderaan utama lain.

Kumpulan terakhir itu diketuai oleh Jepun, Korea Selatan dan Jerman, manakala Britain, Itali serta Sweden menyumbang jumlah import lebih kecil.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley mengecam cadangan tarif Trump sebanyak 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada.

Beliau berkata, langkah itu mengurangkan daya saing kepada syarikat AS yang mengintegrasikan rantaian bekalan di seluruh Amerika Utara di bawah perjanjian perdagangan, termasuk Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA) yang dirundingkan semasa penggal pertama pentadbiran Trump.

Levi yang menyasarkan sektor automotif akan dikenakan selepas presiden mengukuhkan rancangan untuk tarif ke atas semua import keluli dan aluminium, bermula 12 Mac.

Trump sebelum ini turut berjanji untuk mengenakan tarif terhadap semikonduktor, keluli, minyak dan gas.– AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN