GAZA: Seorang pemimpin Hamas memaklumkan kumpulan pejuang tidak akan terlibat dalam rundingan dengan Israel sehingga tahanan Palestin dibebaskan.
Israel sepatutnya membebaskan 620 tahanan di bawah pertukaran ketujuh perjanjian gencatan senjata, kelmarin.
Ia sebagai pertukaran kepada enam tebusan Israel yang dibebaskan Hamas pada hari sama, namun kerajaan Israel bertindak menangguhkan pembebasan tersebut atas alasan ‘penyerahan tebusan yang memalukan’.
“Tidak ada rundingan dengan musuh (Israel) melalui orang tengah sebelum pembebasan tahanan yang dipersetujui dalam pertukaran untuk enam tebusan Israel.
“Orang tengah mesti memaksa musuh untuk melaksanakan perjanjian itu,” kata pemimpin Hamas, Mahmoud Mardawi dalam satu kenyataan, semalam.
Awal Ahad, Hamas mengecam kelewatan Israel dalam membebaskan tahanan Palestin dan menyifatkan ia sebagai ‘pelanggaran’ terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza.
Perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan itu berkuat kuasa bulan lalu, menghentikan perang Israel yang sudah meragut lebih 48,300 nyawa, serta meletakkan wilayah dalam kemusnahan.– ANADOLU










