Senarai hitam pengilang sabotaj beras putih tempatan

Senarai hitam pengilang sabotaj beras putih tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas dengan menyenarai hitamkan pengilang yang mensabotaj bekalan beras putih tempatan (BPT) dengan mencampurkan ke dalam kampit beras import bagi mengaut keuntungan berlipat ganda.

Pengilang yang tidak bertanggungjawab itu juga perlu dikenakan hukuman denda setimpal dengan jumlah kerugian ketirisan subsidi beras putih tempatan.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, tindakan tegas sedemikian perlu diambil supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar dapat menjalankan amalan perniagaan lebih beretika di negara ini.

“Pihak tersebut perlu melaksanakan jualan amal beras import yang sedang berada di pasaran sekarang sebagai rasa tanggungjawab terhadap majoriti pengguna yang terkesan akibat perbuatan mereka.

“Mereka perlu menurunkan harga beras import tersebut kerana disebabkan amalan yang tidak beretika itu telah mengakibatkan bekalan beras tempatan kita tidak stabil malah seolah-olah hilang dari pasaran kita selama setahun lebih.

“Malah disebabkan skandal tersebut, pengguna pula perlu membayar lebih demi sekampit makanan ruji,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa kira-kira 50 peratus beras putih import yang berada di pasaran negara ini telah dicampur dengan beras putih tempatan.

Perkara itu disahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui analisis yang dilakukan ke atas 5,000 sampel kampit beras import sejak tahun lalu.

Pengarah Pusat Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Dr. Muhammad Zamharir Ahmad berkata, pihaknya membuat analisis terhadap lebih 5,000 sampel kampit beras dengan logo import yang dihantar oleh agensi penguat kuasa sejak 2023.

Katanya, sampel-sampel itu diperoleh hasil serbuan Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di seluruh negara.

Nur Asyikin berkata, skandal beras putih tempatan itu menunjukkan kelemahan dalam pemantauan dan penguatkuasaan daripada pihak berwajib.

Dalam situasi seperti ini, katanya, ketelusan dalam pengurusan dan pemantauan industri beras sangat penting untuk memastikan bahawa produk yang sampai kepada pengguna adalah berkualiti, selamat, dan tidak mengelirukan.

“Pihak berwajib seharusnya lebih proaktif dalam melakukan pemeriksaan berkala dan memastikan standard produk dipatuhi. Mereka juga perlu memperkukuhkan sistem pe­ngesanan, supaya sebarang penyelewengan atau manipulasi terhadap produk seperti beras dapat dikesan lebih awal.

“Jika pihak berwajib ti­dak menangani punca asas ber­kaitan dengan amalan perniagaan yang tidak beretika di kalangan industri, maka isu ini tidak akan dapat diselesaikan secara menyeluruh.

“Isu ini akan terus berulang dan memberi kesan negatif kepada pengguna serta ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×