PETALING JAYA: Status quo yang diperoleh Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bukanlah zon selesa sebaliknya perubahan drastik perlu dilaksanakan bagi menambahbaik kedudukan negara pada masa depan.
Bagi merealisasikan perkara itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar menterjemahkan janjinya menangani rasuah dengan memperbaiki kedudukannya dalam ukuran antarabangsa seperti CPI.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, terdapat tiga perkara yang memerlukan perubahan drastik daripada kerajaan iaitu pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dengan pendakwa raya, Akta Pendanaan Politik dan reformasi struktur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, kerajaan perlu segera membentangkan pindaan undang-undang bagi memisahkan bidang kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya bagi mengatasi isu melibatkan pemberian dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kepada pemimpin politik yang terlibat perbicaraan rasuah.
Katanya, pemberian DNAA kepada pemimpin politik dalam kes melibatkan rasuah yang sedang dibicarakan sememangnya menjejaskan indeks persepsi rasuah.
“Maka bahagian pendakwa raya harus dibebaskan daripada campur tangan eksekutif. Oleh demikian, tugasan itu tidak harus lagi dilaksanakan oleh Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri.
“Keduanya, kerajaan perlu membentangkan segera Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendanaan Politik. Ia penting untuk mengawal aktiviti pembiayaan parti politik supaya ada ketelusan dalam aspek sumbangan dan derma,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pengumuman CPI tahun 2024, Malaysia kekal di kedudukan ke-57 untuk dua tahun berturut-turut, dengan skor 50 mata.
Kedudukan terbaharu itu diperoleh hasil daripada sembilan tinjauan berbeza bagi mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.
Menerusi indeks CPI 2024, tiga berada di kedudukan tertinggi iaitu Denmark, Finland dan Singapura dengan masing-masin memperoleh skor sebanyak 90 mata, 88 mata dan 84 mata.
Muhammad Faisal berkata, pihaknya melihat sudah tiba masanya kerajaan mereformasikan struktur kepimpinan SPRM serta mewujudkan jawatankuasa khas Parlimen untuk memantau badan tersebut.
“Mereka yang diberikan amanah memimpin SPRM harus bebas dari ikatan politik khususnya eksekutif dan dalam masa sama mereka juga harus amanah dan bertanggungjawab.
“Maka berhubung soal ini, satu jawatankuasa khas Parlimen perlu diwujudkan untuk memantau serta menyemak progres kerja SPRM supaya mereka bertanggungjawab,” katanya.
Tambah Muhammad Faizal, Malaysia sudah dimalukan dengan pelbagai skandal rasuah termasuklah isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu projek Jana Wibawa yang sedang dibicarakan.
“Oleh demikian, ketiga-tiga reformasi ini perlu dilaksanakan segera supaya kelompongan yang ada untuk rasuah dan salah guna kuasa ditutup rapat dan dicegah daripada berulang,” katanya.










