ROM: Sebuah penerbangan American Airlines dari New York ke New Delhi terpaksa dilencongkan ke Rom pada Ahad, berikutan dakwaan ancaman bom.
Syarikat itu tidak memberikan butiran mengenai ‘kemungkinan kebimbangan keselamatan’ dalam penerbangan yang membawa 199 penumpang dan anak kapal.
Pesawat itu diiringi oleh dua jet pejuang Itali sebelum mendarat.
“Pesawat mendarat dengan selamat di FCO (Rom), dan pihak berkuasa memeriksa serta membenarkan ia berlepas semula,” kata American Airlines dalam satu kenyataan.
Perunding IT yang berada dalam pesawat itu, Mahesh Kumar berkata, juruterbang mengumumkan perubahan laluan ke Rom atas faktor keselamatan, kira-kira tiga jam sebelum mendarat.
“Semua orang ketakutan. Semua diam dan mematuhi arahan.
“Mereka meminta kami duduk dan tidak bergerak ke sana sini sementara jet pejuang berada berhampiran,” kata Kumar yang berasal dari Texas kepada AFP.
Beliau berkata, polis Itali turut mengiringi penumpang untuk pemeriksaan sebaik sahaja mereka mendarat di lapangan terbang.
Penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York, pada Sabtu sekitar pukul 8.11 malam (waktu tempatan), menurut laman penjejak penerbangan FlightAware.
Data daripada laman itu menunjukkan pesawat membuat pusingan ketika terbang di atas Laut Kaspia.
Seorang pegawai American Airlines berkata, pesawat itu mendarat di Rom kerana keperluan protokol India.
“Isu yang mungkin ditentukan sebagai tidak boleh dipercayai, tetapi mengikut protokol Lapangan Terbang DEL, pemeriksaan diperlukan sebelum mendarat di DEL.
“Penerbangan kekal di FCO semalaman bagi membolehkan anak kapal berehat sebelum meneruskan perjalanan ke DEL secepat mungkin,” kata pegawai yang enggan namanya didedahkan.
Jurucakap lapangan terbang Itali berkata, operasi di lapangan terbang Rom tidak terjejas akibat insiden itu.- AFP










