Pelajar sekolah maut ditikam di Sheffield

Pelajar sekolah maut ditikam di Sheffield

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHEFFIELD: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditikam dalam satu kejadian tragis di Sekolah Menengah Katolik All Saints, Sheffield, Britain semalam.

Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Harvey Willgoose, mengalami kecederaan dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 12.17 tengah hari (waktu tempatan) di sekolah yang terletak di Granville Road.

Pasukan perubatan dan polis segera dikejarkan ke lokasi kejadian, namun remaja itu disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Polis South Yorkshire dalam kenyataan berkata, pihak berkuasa menahan seorang pelajar lelaki atas tuduhan membunuh dan kini masih dalam tahanan untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis South Yorkshire, Asisten Konstabel Lindsey Butterfield berkata, pasukannya giat menjalankan siasatan bagi mendapatkan gambaran penuh mengenai kejadian itu.

“Kami menyeru semua pihak agar menghormati perasaan keluarga mangsa yang kini berdepan saat sukar,” katanya dalam satu sidang media.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu siasatan serta menambah kesedihan kepada keluarga mangsa.

Susulan kejadian, kawalan keselamatan di kawasan sekolah dan sekitarnya diperketatkan oleh anggota polis.

Kejadian ngeri ini turut mendapat perhatian pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Keir Starmer yang menyatakan rasa sedih dan simpati terhadap keluarga mangsa.

“Kejadian ini amat tragis dan saya percaya seluruh negara turut merasai kesedihan yang mendalam. Kami bersimpati dengan keluarga, rakan, sekolah dan komuniti yang sedang berkabung,” katanya dalam satu kenyataan ketika berada di Brussels.

Menteri Pendidikan, Bridget Phillipson, turut melahirkan rasa terkejut dan memaklumkan kementerian sedang berhubung dengan sekolah serta pihak berkuasa tempatan bagi memberikan sokongan sewajarnya.

Insiden ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai jenayah serangan yang semakin berleluasa di Sheffield. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×