PARIS: Seorang bekas pakar bedah akan dibicarakan di Perancis atas tuduhan merogol atau melakukan serangan seksual terhadap hampir 300 pesakit, kebanyakannya kanak-kanak.
Joel Le Scouarnec, 74, sudah dipenjarakan selepas mahkamah pada 2020 mendapati beliau bersalah mendera empat kanak-kanak, termasuk dua anak saudaranya.
Dalam perbicaraan terbaharu yang dijangka berlangsung selama empat bulan, Scouarnec berdepan tuduhan menyerang atau merogol 299 pesakit, kebanyakannya ketika mereka sedar daripada bius atau ketika pemeriksaan selepas pembedahan, di 12 hospital antara 1989 dan 2014.
Secara keseluruhan, 256 daripada 299 mangsa berusia bawah 15 tahun, dengan usia termuda berumur setahun dan tertua 70 tahun.
Perbicaraan itu dijangkan mengejutkan Perancis sekali lagi.
Ia berlangsung hanya dua bulan selepas Dominique Pelicot disabitkan kesalahan kerana merekrut puluhan lelaki untuk merogol isterinya, Gisele Pelicot, yang ketika itu berada dalam keadaan separa sedar akibat dadah.
Dalam kes kali ini, Scouarnec adalah satu-satunya tertuduh yang didakwa atas jenayah terhadap ratusan mangsa.
Perbicaraan di bandar Vannes, wilayah barat Brittany akan diadakan secara terbuka.
Namun, keterangan selama tujuh hari daripada mangsa yang menjadi sasaran ketika mereka masih di bawah umur akan didengar secara tertutup.
Jika disabitkan kesalahan, Scouarnec boleh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dengan undang-undang Perancis tidak membenarkan hukuman ditambah walaupun terdapat ramai mangsa.- AFP










