KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bangi hari ini terhadap pertuduhan menipu isteri pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi melibatkan wang berjumlah RM105,380, Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Nursyafiqah Hermansah, 28, yang bekerja sebagai peniaga didakwa telah memperdayakan Afreena bahawa tertuduh boleh menjamin keluar suaminya, Along Cham dan menurunkan seksyen pertuduhan yang dihadapi oleh pelawak tersebut.
Pada ketika itu, Along Cham atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan memiliki dadah kanabis dan dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup.
Tindakan tertuduh itu telah menyebabkan Afreena membayar wang berjumlah RM105,380 melalui 26 transaksi kepada lima akaun bank berbeza.
Nursyafiqah didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 6.06 petang, 22 Disember 2024, pukul 6.06 petang dan pukul 1.24 petang, 14 Januari 2025 di Petronas Bangi Getaway di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan atas alasan dia mempunyai tanggungan tiga orang anak dan hanya mempunyai pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Mac ini.
Pada 28 Januari lalu, media melaporkan Along Cham mendakwa Afreena telah menyeleweng duit sumbangan orang ramai berjumlah mencecah ratusan ribu yang sepatutnya digunakan untuk membantunya sejak ditahan ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Afreena kemudian tampil membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu seorang individu yang dikenalinya sebagai Ika melibatkan wang sebanyak RM95,180.
Pada 8 Februari lalu, polis telah menyerahkan kertas siasatan kes penipuan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya.
Suspek wanita yang ditahan itu mempunyai lima rekod lampau berkaitan penipuan di empat negeri iaitu di Selangor, Sabah, Negeri Sembilan dan Kedah.










